Aidilfitri bukan sunnah bermewah-mewah

Aidilfitri bukan sunnah bermewah-mewah

Tokoh agama nasihat umat Islam yang kini buat persiapan sambut Aidillfitri dan pulang ke kampung agar meraikan lebaran secara sederhana dan elak pembaziran. - AMIR KHALID / PIX SAHAJA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kira-kira 20 juta umat Islam di negara ini dinasihatkan tidak berbelanja melebihi kemampuan kerana sambutan Aidilfitri bukanlah satu sunnah untuk bermewah-mewah.

Yang Dipertua Persatuan Ulama Malaysia (PUM), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abd Aziz berkata, masyarakat Islam memang dituntut untuk menyambut Aidilfitri dalam suasana yang bergembira melalui pelbagai cara dan pendekatan.

Paling utama, katanya, adalah dengan mengeratkan lagi hubungan silaturahim melalui aktiviti ziarah, saling mendoakan serta ingat mengingati.

“Hakikatnya, kita mahu zahirkan kegembiraan kerana kita telah berjaya melalui satu proses madrasah Ramadan yang boleh menjana kekuatan kerohanian untuk berdepan dengan 11 bulan berikutnya sehingga Allah izinkan kita bertemu semula dengan Ramadan akan datang.

“Pastinya dalam menzahirkan kegembiraan, ia termasuk dengan kita bersikap murah hati berbelanja khususnya kepada orang tersayang, ahli keluarga dan jiran kerana saling menghadiahkan satu sunnah mulia, yang bergantung kepada kemampuan dan keupayaan.

“Namun sambutan Aidilfitri bukan untuk bermewah-mewah, tetapi ia lebih kepada memberi nilai kasih sayang dan ingatan yang terpahat dalam hati dan fikiran kita,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Justeru, Wan Mohamad yang juga Timbalan Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) berkata, orang ramai perlu berbelanja secara berhemah dan elakkan sebarang elemen pembaziran.

Sementara itu, Pengerusi PUM Wilayah Persekutuan, Datuk Mohamad Abdullah berkata, umat Islam disaran meneruskan sebahagian besar amalan yang dilakukan Ramadan pada bulan-bulan seterusnya terutama menunaikan solat berjemaah di masjid serta menghadiri majlis ilmu.

“Kena jaga hasil daripada sebulan latihan pada Ramadan. Apabila sudah raya, mahu mula semula mungkin lambat, jadi tidak boleh ditinggalkan. Kena sentiasa bersama,” katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Dekan, Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Ts. Dr. Anuar Shah Bali Mahomed berkata, umat Islam disaran berbelanja mengikut keperluan pada sambutan Aidilfitri kali ini.

Katanya, ia susulan keadaan ketidaktentuan ekonomi, kenaikan kos sara hidup serta peningkatan sebahagian harga barangan.

“Jangan berlebihan berbelanja sebab akan menyebabkan kita berhadapan defisit atau tidak cukup wang selepas musim perayaan,” katanya.

Beliau berkata, mereka yang berbelanja berlebihan dikhuatiri perlu meminjam terutamanya kepada ah long untuk kegunaan keperluan harian.

Katanya, elemen berkenaan boleh mengakibatkan individu itu terjerat sekali gus menggugat keselamatan mereka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN