PUTRAJAYA: Pelantikan ahli lembaga pengarah dan hala tuju Digital Nasional Bhd (DNB) akan diumumkan esok.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, perkara itu akan diumumkan Menteri Digital, Gobind Singh Deo di Pulau Pinang.
Beliau berkata, perkara itu turut dibincangkan dalam mesyuarat-mesyuarat Jemaah Menteri, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.
“Beliau (Gobind) akan membuat beberapa pengumuman dengan pelantikan ahli lembaga pengarah dan beberapa hala tuju bagi DNB esok,” katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.
Selain itu, Fahmi berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) akan mengadakan perbincangan dan memeterai satu perjanjian persefahaman (MoU) dalam masa terdekat.
Katanya, MoU itu bagi mempercepat pelaksanaan penerimagunaan rangkaian 5G khusus bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta industri.
“Perdana Menteri memberi penegasan bahawa manfaat daripada 5G selain daripada untuk rakyat biasa, setakat 17 April lalu, lebih 35 peratus daripada keseluruhan jumlah pengguna telco yang telah memanfaatkan atau menempah pakej 5G.
“Tapi manfaat utama 5G adalah pada penerimagunaan dan pelaksanaan rangkaian tersebut bagi sektor industri dan juga PMKS,” katanya.
Mengulas lanjut, ujarnya, pengumuman tambahan mengenai pelaksanaan rangkaian 5G akan dilakukan pada minggu depan sekiranya ia berjalan lancar.
Tambahnya, pengumuman itu akan memberikan hala tuju sangat jelas termasuk berhubung dasar dwirangkaian 5G. – UTUSAN