PETALING JAYA: Sembilan daripada 10 kanak-kanak di negara ini didapati ketagih menonton media sosial, sikap yang boleh membantutkan pemikiran dan perkembangan mereka.
Mereka tergolong dalam kira-kira 7.6 kanak-kanak yang berusia 14 tahun dan ke bawah yang dianggar menghabiskan masa purata lapan jam sehari menggunakan internet.
Jangkaan itu mengambil kira pola penggunaan media sosial dalam kalangan pengguna internet di negara ini yang setinggi 90 peratus.
Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), Siraj Jalil berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan peratusan yang tinggi dalam kalangan rakyat Malaysia itu menjadikan nisbah dalam kumpulan kanak-kanak turut berpotensi tinggi.
Malah, katanya, kemungkinan itu juga berdasarkan nisbah setiap 10 orang yang menggunakan internet, maka sembilan orang akan memiliki media sosial.
Justeru, katanya, isu penggunaan media sosial dalam kalangan kanak-kanak perlu menjadi antara keutamaan penelitian kerajaan susulan kebanyakan kandungannya dibimbangi boleh mengancam pola pemikiran generasi muda.
“Ancaman pola pemikiran kanak-kanak generasi baharu disebabkan media sosial adalah mereka boleh ketagih membuat TikTok live atau terjerumus dalam sisi gelap media sosial iaitu fenomena darkside (DS),” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Siraj berkata, negara sepatutnya melindungi cara generasi kanak-kanak berfikir termasuk dalam soal penggunaan internet mahupun media sosial.
Beliau memberi contoh China yang sangat tegas dalam soal kandungan yang patut dilihat rakyat negara itu.
“Sekarang ini, kalau ikut panduan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), syarat minimum untuk pemilik pendaftaran internet talian telefon adalah 12 tahun. Bawah 12 tahun maknanya salah.
“Jadi kalau ikut panduan sedia ada, macam mana mereka boleh menggunakan media sosial? SKMM perlu menjelaskan apakah ia kelemahan di bawah kawal selia, pendidikan kelemahan mahupun kesedaran.
“Apakah 12 tahun itu hanya sekadar pendaftaran, pemilikan atau soal melindungi pengguna? Adakah semasa ketetapan itu dibuat, kerajaan meletakkan soal keselamatan kanak-kanak dalam ruang siber? Jika tidak, maka perlu buat pindaan untuk keselamatan,” katanya.
Sementara itu, Pakar Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Dr. Bustam Kamri berkata, pemikiran dan perkembangan kanak-kanak berisiko terbantut terutamanya dari emosi jika terdedah kepada media sosial dan internet pada usia awal.
Beliau berkata, ini kerana mereka terlampau menghabiskan masa menghadap skrin dalam tempoh yang lama.
“Dari segi kognitif sudah letih sebab sentiasa menonton skrin, itu yang mengganggu tumbesaran pemikiran dan otak kanak-kanak.
“Kesan jangka panjang, ia sudah jadi ketagihan, Bangun tidur wajib tengok media sosial, internet dulu. Kesannya remaja sekarang jarang bersosial dan lemah komunikasi,” katanya.
Justeru, beliau berkata, ibu bapa perlu lebih ketat dalam mengawal penggunaan gajet dalam kalangan kanak-kanak tanpa menunggu sebarang penguatkuasaan polisi mahupun undang-undang daripada kerajaan.
Sebaiknya, beliau berkata, media sosial dan internet tidak perlu diperkenalkan kepada kumpulan kecil itu yang berusia tiga tahun dan ke bawah.
Katanya, ini kerana persekitaran mereka patut dipengaruhi oleh buku kecil serta mainan supaya dapat meningkatkan perkembangan mereka.
“Kita selalu salahkan kerajaan, sedangkan pendidikan bermula dari rumah. Letak polisi apa pun kalau ibu bapa tiada kesedaran, tak guna juga.
“Jadi patut hadkan sehingga ke peringkat sekian umur. Tidak perlu beri pendedahan terlalu awal.
“Patut setengah jam sudah cukup, tetapi imbangkan ikut fitrah asal kanak-kanak iaitu membaca dan bermain,” katanya. – UTUSAN