KUALA LUMPUR: Kejohanan M8 Malaysia Pushbike International yang akan berlangsung 4 dan 5 Mei depan bakal menyaksikan 500 penyertaan dari sembilan negara berentap merebut kejuaraan berprestij itu.
Presiden The M8 Cycling Club, Datuk Seri Wan Mohd Muzri Ramli berkata, selaku penganjur, matlamat kejohanan tersebut adalah bagi melahirkan pelumba-pelumba cilik bertaraf antarabangsa menerusi perlumbaan tersebut.
“Satu kejutan untuk sebenarnya penganjuran kali ini, pasukan-pasukan dari pelbagai negara berbesar hati menyertai pertandingan termasuk Malaysia, Indonesia, Singapore, Thailand, Vietnam, Philippines, China, Japan dan Amerika Syarikat.
“Apabila pendaftaran dibuka, dalam tempoh lima jam sahaja, lebih 100 permohonan dari luar negara kami terima. Sehingga kini sudah 250 peserta luar negara sudah mengesahkan penyertaan.
“Untuk kualiti terbaik penganjuran, kami terpaksa hadkan jumlah pesera luar negara kerana faktor masa, tempat dan juga bagi memberi peluang kepada pelumba tempatan untuk sama-sama menyertai pertandingan ini,” ujarnya.
Acara tahunan tersebut yang bakal menggegarkan M8 Training Center, Kajang mencatatkan penyertaan terbanyak dari Indonesia dengan pendaftaran 100 peserta.
Tambah Wan Mohd Muzri lagi, perlumbaan pushbike bertaraf antarabangsa tersebut mendapatkan sokongan Kementerian Belia dan Sukan dengan kerjasama Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia.
“Sebelum ini, kejohanan tersebut telah mendapat sokongan Kementerian Pelancongan. Tahun ini, pastinya lebih hebat. Terima kasih kepada kementerian yang terus memberi kepercayaan kepada kami.
“Kami berharap dalam penganjuran kali ini, pihak kementerian akan dapat dapat memberi sokongan penuh sekali lagi kepada kami selaku penganjur.
“Dalam masa sama, kami berharap penganjuran ini dapat membantu dalam melahirkan atlet cilik terbaik dan juga menarik lebih ramai pelancong ke Malaysia, seterusnya dapat mempertingkatkan ekonomi setempat,” ujarnya.
Bercakap tentang persediaan, kejohanan kali ini agak mencabar terutama menyelia dan menyedia track atau laluan perlumbaan yang memberi persaingan sengit serta menguji kepantasan setiap peserta.
“Memasuki tahun kelima penganjuran di peringkat antarabangsa, pastinya kami memerlukan persediaan yang lebih rapi dan dinamik. Kali ini lebih mencabar dari segi tempat tetapi memberi impak yang menarik,” katanya.
Sementara itu, Wan Mohd Muzri berharap melalui pertandingan tersebut, Malaysia dapat menjadi hub pertandingan pushbike terbaik di Asia, dapat melahirkan atlet cilik yang berwibawa dan seterusnya dapat menjadikan Malaysia tumpuan dunia.
“Penganjuran ini bukan sahaja di peringkat pushbike pada usia dua hingga sembilan tahun. Tapi dengan terlahirnya yang berbakat dapat memberi peluang ke peringkat yang lebih baik melalui perancangan dari M8 bersama rakan kerjasama.
“M8 bakal bekerjasama pada tahun ini bersama ZK Racing dan SIC Racing dgn penganjuran bersama pushbike dgn sukan lumba motor iaitu FIM MiniGP Malaysia dan SIC Ohvale Junior Championship.
“Malaysia juga bakal mempertaruhkan bakat hebat lain antaranya Maleeq Dragster yang akan berlumba di kategori lima tahun. Diharapkan agar Maleeq mampu mempertahankan kejuaraanya dalam kejohanan sebelum ini,” kongsinya.