50 peratus rakyat Kelantan bergantung air telaga

50 peratus rakyat Kelantan bergantung air telaga

TELAGA menjadi penyelesaian terbaik rakyat Kelantan dalam mendapatkan bekalan air untuk meneruskan kelangsungan hidup. – mingguan/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kira-kira 50 peratus atau 600,000 daripada 1.2 juta rakyat Kelantan kini bergantung kepada telaga atau telaga tiub untuk mendapatkan bekalan air selepas masalah lebih 25 tahun lalu tidak selesai.

Walaupun kos menggali tela­ga atau telaga tiub mencecah ribuan ringgit, penduduk sudah tidak mampu untuk menanggung ‘sengsara’ susulan syarikat pengendali perkhidmatan yang diberi tugas menyediakan bekalan air bersih gagal melaksanakannya.

Malah, mereka juga seolah-olah berputus asa dengan jami­nan kerajaan negeri untuk me­ngatasi masalah bekalan air ber­sih yang lambat kesudahannya, dan lebih menyakitkan hati apa­bila penduduk terpaksa memba­yar ‘bil angin’ setiap bulan.

Antara kawasan yang teruk terjejas tiada bekalan air ialah Pasir Mas, Tumpat, Pasir Puteh, Tanah Merah, Kota Bharu, Ma­chang dan sebahagian Kuala Krai serta Machang.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, seorang penggali telaga tiub, Mohd. Jamil Yaacob, 35, berkata, pelanggan mendedahkan mereka terpaksa berbuat demikian disebabkan sudah ti­dak mampu untuk bertahan de­ngan perkhidmatan yang di­se­diakan oleh kerajaan negeri ter­utama setiap kali musim pe­rayaan dan Ramadan.

Menurutnya, penduduk tetap sanggup mengeluarkan belanja menggali telaga tiub sebagai ‘penyelamat’ ekoran gangguan bekalan air yang terlalu kerap.

“Situasi itu menyebabkan ka­mi tidak menang tangan untuk memenuhi permintaan pe­langgan akibat kekurangan te­naga kerja walaupun menerima lebih 50 panggilan sepanjang Ramadan lalu.

“Musim kemarau yang sedang melanda ketika ini turut menyumbang kepada peningkatan kerja-kerja menggali telaga tiub di negeri ini,” katanya.

Mohd. Jamil atau lebih popular dengan gelaran Rajo Boring Air berkata, ada dalam kala­ngan pelanggan sanggup membuat bayaran lebih semata-mata mahu menikmati bekalan air bersih sebelum 1 Syawal.

Katanya, bagaimanapun dia hanya mampu melakukan 10 kerja-kerja menggali telaga tiub dalam tempoh sehari bergantung kepada bentuk muka bumi.

“Meraikan Ramadan dan Sya­wal tanpa bekalan air bersih me­mang cukup perit, tambahan pula ketika musim kemarau yang sedang melanda waktu ini.

“Disebabkan itu, Aidilfitri ka­li ini, pasukan saya terpaksa me­mendekan cuti semata-mata mahu menyiapkan telaga tiub secepat mungkin mengikut kehendak pelanggan,” katanya.
Bermula RM1,000

Rajo Boring Air itu berkata, dia menawarkan perkhidmatan menggali telaga tiub dengan harga serendah RM1,000 dan ke atas bergantung kepada keada­an bentuk muka bumi.

Katanya, bagaimanapun caj menggali telaga tiub boleh men­cecah sehingga RM200,000 bergantung kepada lokasi dan kedalaman.

“Biasanya kos yang tinggi itu melibatkan kawasan berbatu. Alhamdulillah, setakat ini, pembinaan telaga tiub ini banyak membantu penduduk Kelantan mendapat bekalan air bersih dalam meneruskan kelangsu­ngan hidup,” ujarnya.

Telaga tradisi rakyat Kelantan

Menurut carian maklumat dari laman sesawang Institut Penyelidikan Air Kebangsaan (NAHRIM) air bawah tanah di Kelantan telah dibangunkan sebagai bekalan air minum sejak 1935 dan diuruskan oleh Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB).

MOHD. Jamil Yacob (kiri) melihat kerja-kerja menggali telaga tiub untuk mendapatkan bekalan air di Kampung Bechah Salak, Mengkebang, Kuala Krai, Kelantan. – mingguan/YATIMIN ABDULLAH

Permintaan terhadap air ba­wah tanah sebagai bekalan air minum sentiasa meningkat sejak 30 tahun kebelakangan ini. Sehingga kini, bekalan air bawah tanah diperoleh daripada 82 telaga pengeluaran di 13 buah medan telaga di kawasan Kelantan Utara.

Air tanah di medan-medan telaga ini adalah daripada akuifer cetek melainkan di Tanjung Mas dan di beberapa telaga baru di Pintu Geng. Pada masa ini, penggunaan air tanah adalah sebanyak 134 Mililiter (ml)/hari, iaitu kira-kira 41 peratus daripada pengeluaran keseluruhan loji rawatan air AKSB.

Permintaan terhadap air ta­nah dijangka sebanyak 165ml/hari untuk tahun 2010 dan akan meningkat pada kadar 2.5 peratus setahun.

Melihat kepada situasi itu ti­dak hairanlah menggali telaga merupakan tradisi rakyat negeri ini dalam mendapatkan sumber bahan mentah tersebut dalam meneruskan kelangsungan hidup.

Perkara tersebut diakui sendiri oleh seorang penggali telaga dari Kampung Pulau Tengah, Kubang Kerian Mohd. Zaini Mat Rawi, 53, yang mendedahkan dia tidak menang tangan memenuhi permintaan pelanggan.

Katanya, secara purata sepanjang tempoh sebulan dia mene­rima sekurang-kurang 10 tempahan daripada pelanggan untuk kerja-kerja menggali telaga.

“Biasanya orang Kelantan menjadikan telaga ini sebagai ‘simpanan’ jika berdepan kecemasan seperti kemarau dan lain-lain. Dalam kerja-kerja ini saya mengambil berat soal kua­liti air supaya telaga yang digali dapat memberi manfaat berpanjangan kepada pengguna.

“Kelebihan telaga berbanding telaga tiub ialah kualiti air lebih baik sekali gus dapat menepati cita rasa dan kehendak pelanggan. Dari segi kedalaman pula, biasanya saya gali antara 4.57 meter hingga 9.1 meter,” ujarnya.

Jauh dari sisa kumbahan

Mohd. Zaini berkata, sebelum melakukan kerja-kerja menggali menggunakan penyodok, dia akan memastikan tapak telaga itu terletak jauh dari tangki kumbahan.

Katanya, hal ini bagi memastikan kualiti air dari telaga tersebut tidak terjejas sekali gus boleh memberikan kesan kurang baik sepanjang penggunaannya.

“Untuk dapatkan yang ber­kualiti, biasanya saya akan berpandukan kepada busut, sarang semut ‘gatal’ dan kawasan tinggi. Kesemua itu merupakan petua yang saya diperoleh daripada ayah yang merupakan seorang penggali telaga.

“Untuk sebuah telaga, saya mengambil masa antara tiga hingga lima hari bergantung kepada kedalaman,” ujarnya.

Telaga sumber utama

Penduduk di Kampung Baroh Pial, Rantau Panjang menjadikan telaga sebagai sumber utama mendapatkan bekalan air bagi digunakan untuk urusan harian termasuk minum, mencuci kelengkapan dapur, pakaian dan bersuci.

SURIA Osman menunjukkan telaga yang menjadi sumber utama dia dan keluarga untuk mendapatkan air terutama ketika waktu krisis bekalan air bersih di Kampung Baroh Pial, Rantau Panjang, Kelantan.

Suria Osman, 49, berkata, pen­duduk di kawasan itu tidak per­nah mendapat bekalan air bersih kerana dimaklumkan untuk kerja-kerja pemasangan paip menelan belanja besar kera­na perlu merentasi jalan utama.

“Disebabkan itu, semua penduduk di sini menjadikan telaga sebagai sumber utama mendapatkan bekalan air,” ujarnya.

Ulang-alik punggah air telaga

Kemarau berpanjangan yang sedang melanda ketika ini menyebabkan penduduk terpaksa berulang alik sejauh 14 kilome­ter (km) untuk memunggah air dari sebuah telaga yang terletak jauh di hujung kampung.

Kata Suria, tindakan itu terpaksa dilakukan selepas telaga di rumah masing-masing mulai kering susulan cuaca panas melampau.

“Alhamdulillah setakat hari ini, telaga tersebut tidak pernah kering walaupun kemarau panjang dan ia menjadi ‘talian ha­yat’ penduduk Kampung Baroh Pial.

“Setiap malam, suami ke perigi tersebut yang terletak di kebun kelapa dekat Kampung Bendang Ikan untuk memunggah air menggunakan motosikal roda tiga,” ujarnya.

Selesai 2027

Masalah bekalan air yang menghantui rakyat Kelantan le­bih 20 tahun lalu akan selesai sepenuhnya pada tahun 2027 apabila semua loji-loji air dalam kerja-kerja naik taraf dan bina baharu akan siap sepenuhnya.

Jaminan itu diberikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pem­bangunan Luar Bandar ne­geri, Datuk Dr. Izani Husin yang turut menjejaskan pada 2028 nanti, Kelantan akan mempu­nyai lebih bekalan air.

Justeru, kerajaan negeri me­mohon supaya rakyat terus bersabar apabila dalam tiga tahun lagi masalah itu akan selesai se­penuhnya.

Utusan Malaysia sebelum ini juga melaporkan, kerajaan Ke­lantan kekal dengan keputusan menaikan tarif air sebanyak 23 sen bagi kategori pengguna domestik di negeri ini yang bermula 1 Februari lalu.

Menteri Besar Datuk Mohd. Nassuruddin Daud berkata, kenaikan tarif air ini tidak hanya melibatkan Kelantan sahaja, namun di seluruh negara.

Katanya, kenaikan tarif air itu bertujuan untuk menaik taraf loji-loji air sedia ada, sekali gus dapat mengatasi bekalan air ber­sih yang dihadapi rakyat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN