KANGAR: Majlis sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri Pas Pusat yang julung kali diadakan di negeri meriah dengan kehadiran lebih 40,000 pengunjung di Dewan 2020 di sini hari ini
Majlis berkenaan juga dihadiri hampir keseluruhan barisan kepemimpinan tertinggi Pas Pusat serta pemimpin-pemimpin parti itu serta rakan gabungan parti-parti komponen Perikatan Nasional (PN) dari seluruh negara.
Antara yang hadir, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang: Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin; Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man; Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan; Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli, Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad dan barisan kepemimpinan lain.
Majlis yang bermula pukul 11 pagi sehingga 3 petang itu menyajikan pelbagai jenis menu seperti nasi gulai daging, lemang, ketupat, rendang, sate, beraneka bubur, kuih muih, mee, bihun, laksa dan pelbagai jenis juadah lain.
Menariknya lagi, setiap gerak mempamerkan kreativiti masing-masing dengan memperagakan tema ‘Tradisional Melayu’.
Perasmian majlis berkenaan disempurnakan oleh Abdul Hadi.
Hashim berkata, majlis berkenaan sangat bersejarah setelah sekian lama acara besar Pas Pusat tidak dianjurkan di negeri ini.
Katanya, selama ini, majlis seperti itu tidak dapat diadakan kerana kekangan jentera dan kewangan, namun setelah Pas menerajui negeri ini akhirnya ia dapat diadakan di Perlis.
Mohd. Shukri pula berkata, majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Pas Pusat yang julung kali diadakan di negeri ini akan memberi semangat kepada parti itu dan untuk terus diberi mandat memimpin kerajaan negeri ini.
“Kami berharap dan berdoa agar kami dapat mengekalkan kemenangan di negeri Perlis supaya semua perancangan kami dapat direalisasikan,” katanya.-UTUSAN