PETALING JAYA: Dianggarkan secara purata sebanyak 68 kemalangan berlaku dalam tempoh setiap satu jam atau 1,644 kes sehari di seluruh negara sepanjang tahun lalu.
Jumlah itu sekali gus merekodkan sebanyak 599,961 kes kemalangan di seluruh negara pada 2023.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd. Azman Ahmad Sapri berkata, daripada purata 1,644 kes kemalangan sehari, sebanyak 17 kes kemalangan maut dilaporkan yang mengakibatkan 18 kematian setiap hari pada 2023.
Katanya, ia bersamaan 6,120 kemalangan maut dengan 6,480 kematian untuk sepanjang tahun itu.
“Daripada jumlah terbabit, sebanyak 4,480 kes kemalangan maut adalah penunggang dan pembonceng motosikal yang merekodkan 4,499 kematian.
“Analisis JSPT mendapati punca utama kemalangan jalan raya di Malaysia disebabkan kecuaian pemandu dan penunggang sendiri.
“Sikap pengguna jalan raya melakukan perkara yang boleh menyebabkan kemalangan antaranya menggunakan alat telekomunikasi selain melanggar undang-undang jalan raya,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Mohd. Azman berkata, antara punca lain adalah disebabkan kerosakan teknikal kenderaan dan persekitaran yang kurang baik.
“Justeru, semua pengguna jalan raya memainkan peranan dan perlu bekerjasama agar kadar kemalangan dapat dikurangkan,” ujarnya.
Dalam pada itu, menurut beliau, sebanyak 3.57 juta saman dikeluarkan polis di seluruh negara bagi tahun lalu.
Katanya, penekanan dibuat ke atas pengeluaran saman melibatkan enam kesalahan utama yang menjadi penyumbang berlakunya kemalangan jalan raya dan kesesakan lalu lintas.
Kata beliau, antaranya, memandu melebihi had laju, tidak mematuhi lampu isyarat; memandu di lorong kecemasan, memotong di garisan berkembar, memotong barisan dan menggunakan alat komunikasi semasa memandu.
“Sebagai perbandingan untuk tiga bulan pertama tahun ini, sebanyak 1.389 juta saman dikeluarkan berbanding 782,043 saman untuk tempoh sama, tahun lalu.
“Terdapat peningkatan sebanyak 78 peratus iaitu 607,834 saman. Ini menunjukkan kepatuhan kepada peraturan jalan raya masih rendah,” katanya.
Mengulas mengenai video-video tular membabitkan samseng jalanan, Mohd. Azman berkata, ia sedikit banyak membantu pihak JSPT melakukan penguatkuasaan berdasarkan aduan dibuat pengguna jalan raya.
Jelasnya, dengan wujudnya kandungan tular sedemikian, pihaknya dapat mengambil tindakan lanjut atas sebarang kesalahan jika terdapat bukti yang mencukupi untuk mendakwa mereka.
“Ada sesetengah video ditularkan sebagai content individu itu sendiri namun ada yang kita ambil ia sebagai aduan.
“Bagaimanapun, kita sentiasa pantau media sosial yang kandungannya berkaitan mat rempit atau kesalahan lalu lintas lain,” ujar beliau.
Menurutnya, seramai 2,241 pesalah ditahan dalam 2,304 operasi Samseng Jalanan pada tahun lalu.
“Ia membabitkan 52,994 saman selain 6,420 kenderaan dirampas untuk siasatan,” katanya. – UTUSAN