Warga PDRM perlu sentiasa siap sedia dengan ilmu pengetahuan - Utusan Malaysia

Warga PDRM perlu sentiasa siap sedia dengan ilmu pengetahuan

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail bergambar bersama warga PDRM di IPD Tawau, semalam.-UTUSAN/SYED AZLAN SAYID HIZAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAWAU: Warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu sentiasa bersiap sedia dengan ilmu pengetahuan yang tinggi bagi berhadapan masyarakat mahu pun penjenayah.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, mereka pada waktu kini dilihat lebih memahami undang-undang dan mempertahankan hak kemanusiaan jika cuba untuk diperiksa dan ditahan.

Titah baginda, keadaan ini sekali gus boleh menyukarkan pihak PDRM melaksanakan tugas dan mampu menjerat kembali pegawai serta anggota yang bertugas jika tidak dijalankan dengan berilmu serta pengetahuan.

“PDRM juga perlu bersama-sama berusaha memberikan tanggapan positif kepada masyarakat melalui penglibatan dalam aktiviti-aktiviti kemasyarakatan.

“Selain itu, mengamalkan interaksi yang lebih mesra dan bersopan-santun tetapi tegas serta berintegriti ketika menjalankan penugasan bersesuaian dengan tema PDRM ‘Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada’,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika berkenan berangkat menghadiri Majlis Berbuka Puasa Bersama Warga Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau di Kampung Bombalai di sini semalam.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin serta para pegawai kanan beliau.

Hadir sama ialah Ketua Polis Perlis, Datuk Muhammad Abdul Halim dan Pegawai Pemerintah Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 14, Superitenden Husaini Zainal Abidin.

Majlis berbuka puasa itu bertujuan untuk menyantuni dan meraikan seluruh warga PDRM IPD Tawau dan beramah mesra bersama delegasi dari Kerajaan Negeri Perlis yang berada di Tawau untuk lawatan Eks PERBAH 2024.

Tambah baginda, penugasan PDRM di lapangan pada masa kini dilihat penuh dengan cabaran dan ada kalanya disalah ertikan oleh masyarakat.

“Tentu sahaja pegawai kanan dan anggota berdepan dengan tekanan dan terpaksa bertugas tanpa mengira masa dan keadaan cuaca demi memastikan tanggungjawab dilaksana.

“Oleh yang demikian, teruskan bersemangat untuk menggalas amanah dan kewajipan yang telah diberikan. Lakukan seikhlas hati dan lakukanlah demi bangsa, agama dan negara. Sesungguhnya, tugas menjaga keamanan dan keselamatan negara adalah pekerjaan yang mulia disisi Allah SWT,” titah baginda.

Dalam kesibukan mengejar masa untuk memastikan penugasan berada pada tahap yang terbaik, baginda mengingatkan supaya pegawai dan anggota polis memperuntukkan masa juga untuk berkomunikasi dan menjalani aktiviti berkualiti bersama keluarga.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya