Usaha JPK dedah kepentingan program TVET

Usaha berterusan JPK dedah kepentingan program latihan teknikal dan vokasional

NORISON Ramli (tengah) mencuba permainan ‘Robotics Challenge’ sempena Karnival Jelajah Madani Jom Masuk TVET di JMTI, Jalan Bukit Minyak, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM: Karnival Jelajah Madani Jom Masuk TVET dianggap sebagai usaha berterusan oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) dalam memberi pendedahan kepada komuniti dan masyarakat mengenai program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional.

Diadakan secara tahunan, karnival itu juga diharap dapat menjadi satu titik permulaan untuk bidang TVET lebih dikenali dalam kalangan masyarakat selepas ini.

Difahamkan, sebanyak enam lokasi penganjuran iaitu mengikut zon telah ditetapkan dengan Pulau Pinang terpilih menjadi tuan rumah untuk edisi pertama pada tahun ini iaitu bagi mewakili zon utara.

Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) Kementerian Sumber Manusia (Kesuma), Dato’ Hajah Norison Ramli, sebanyak 28 pempamer terdiri daripada penyedia latihan TVET, industri, agensi awam dan swasta berjaya dihimpunkan dalam karnival itu

“Pelbagai aktiviti disediakan termasuk pameran daripada penyedia latihan TVET, pameran serta program temuduga bagi pencari kerja oleh syarikat berkaitan selain seminar berkenaan TVET.

“Selain itu, para pengunjung juga boleh mengikuti sesi ‘Skills Challenge’ melalui penyertaan dalam pertandingan ‘Drone Soccer League’ dan ‘Robotics Challenge’ yang dianjurkan oleh Pusat Latihan Pengajar dan Kemahiran Lanjutan (CIAST) serta Institut Teknikal Jepun-Malaysia (JMTI),” katanya pada majlis perasmian karnival di JMTI, Bukit Minyak di sini.

PERTANDINGAN Drone Soccer League antara acara yang menjadi tumpuan sempena Karnival Jelajah Madani Jom Masuk TVET di JMTI, Jalan Bukit Minyak, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Hadir sama, Ketua Pengarah JPK, Zuleah Darsong; Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Manusia (JTM), Shakib Ahmad Shakir; Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Prihatin Nasional Berhad, Dato’ Haji Mohd Aizuddin serta Timbalan Ketua Pengarah (Operasi & Pengurusan) JPK, Abdul Halim Abd. Rahman.

Sempena karnival itu, sebanyak 100 beg dan barangan keperluan sekolah, 100 set barangan keperluan asas untuk institut pengajian tinggi (IPT) serta 10 komputer riba turut diagihkan kepada pelajar TVET yang berstatus yatim serta tergolong dalam kategori B40 sumbangan Yayasan Prihatin Nasional.

Terdahulu, beberapa sesi seminar dan pembentangan turut diadakan sempena karnival itu yang disampaikan oleh wakil beberapa institusi serta agensi berkaitan TVET yang mengambil bahagian selain sesi ucaptama bertajuk TVET Madani, Pemacu Tenaga Mahir Negara oleh Ketua Pengarah JTM.

Hajah Norison berkata, buat pertama kalinya, portal UP_TVET iaitu sistem permohonan ke institusi TVET dalam talian diperkenalkan sempena karnival itu.

“Bermula 30 Oktober 2023, semua permohonan kemasukan ke semua institusi TVET di seluruh negara perlu dibuat melalui saluran tunggal iaitu Unit Pengambilan TVET atau ringkasnya UP_TVET.

“Keputusan menggunakan sistem itu merupakan saranan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi selaku Pengerusi Majlis TVET Negara bertujuan menyelaras permohonan bagi mengelak pertindihan dikalangan pemohon dan penyedia latihan,” ujarnya.

Bagi seorang pelajar jurusan Diploma Teknologi Pembuatan dari JMTI, Dinie Aljufri Ahmad Syukri, 20, pelbagai manfaat diperolehnya sepanjang karnival itu.

Dinie Aljufri Ahmad Syukri

“Saya melihat TVET semakin berkembang seiring peredaran teknologi semasa.

“Karnival seperti ini wajar diperluas agar manfaatnya benar-benar sampai kepada golongan sasaran,” katanya.

Sempena sambutan Hari Wanita Sedunia semalam, pencapaian wanita di arena kemahiran tidak dilupakan dan pencapaian Hayatun Nufus Roshisam, penerima Anugerah Tangan Emas Tahun 2022 antara yang dibanggakan.

Beliau menerima anugerah itu disebabkan pencapaian cemerlangnya dalam bidang Teknologi Automobil sekali gus melayakkannya terpilih mewakili negara di pertandingan Worldskills ASEAN Singapore 2023 dan berjaya mendapat anugerah Medallion for Excellence, menjadikan beliau peserta wanita pertama negara menyertai bidang Teknologi Automobil di pertandingan kemahiran peringkat Asia Tenggara.

Karnival juga menyediakan reruai yang disertai golongan wanita dalam mempamerkan kemahiran mereka khasnya di bidang solekan, mencanting batik, fotografi dan lain-lain.

Ia juga disertai Wong Hsun Wei dari Sense Perfect International College yang akan mewakili negara dalam bidang Beauty Therapy ke Worldskill Competition di Lyon, Perancis pada 10 hingga 15 September nanti. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN