UDA komited memacu kelestarian alam sekitar bersama JPNJ

UDA komited memacu kelestarian alam sekitar bersama JPNJ

Aznan Tamin (enam dari kanan) bersama penerima geran Program Pendidikan Kelestarian pada Majlis Nota Persefahaman (NoU) Kerjasama Antara Uda Land (South) Sdn. Bhd. dan Jabatan Pendidikan Negeri Johor di Wisma SBBU, Johor Bahru hari ini. UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Peneraju pembangunan hartanah dan pengurusan aset, UDA Holdings Berhad (UDA) menjalin kerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) bagi mengukuhkan usaha kelestarian alam sekitar di sekolah di negeri ini.

Inisiatif yang digerakkan anak syarikat UDA Land South Sdn. Bhd. dan Angsana Johor Bahru Mall bakal memperkasa Pelan Tindakan Pendidikan Kelestarian Johor di sekolah-sekolah terpilih.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif UDA, Datuk Sr. Mohd. Salem Kailany berkata, UDA beriltizam menyumbang kepada peningkatan pengetahuan dan kefahaman mengenai kepentingan pembangunan lestari seterusnya membangun kapasiti warga pendidik serta pelajar negeri Johor.

Katanya, kolaborasi ini juga bertujuan menyokong Pelan Tindakan Pendidikan Kelestarian Johor serta mendukung Pelan Pembangunan Mampan Johor 2030 (PPMJ 2030) di peringkat sekolah.

“Melalui perjanjian strategik itu, UDA berganding bahu bersama JPNJ dalam usaha menerapkan tanggungjawab dan kesedaran terhadap pemuliharaan alam sekitar serta melindungi sumber alam semula jadi khususnya kepada warga sekolah dan komuniti setempat. 

“Ini memberi manfaat kepada kedua-dua pihak yang menjadi landasan untuk pemerkasaan latihan serta aktiviti yang selaras dengan Pelan Tindakan Pendidikan Kelestarian Johor,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis menandatangani Nota Persefahaman (NoU) kerjasama antara UDA Land South dan JPNJ di WISMA SBBU, Bandar Baru Uda, di sini hari ini.

NoU itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Operasi UDA Land South, Muhammad Ismail Dasuki Pengarah JPNJ, Mohd. Hanafi Samad sambil disaksikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi negeri, Aznan Tamin.

Mohd. Salem berkata, NoU itu antara lain memfokuskan kepada usaha memantau penglibatan dan pelaksanaan program pendidikan kelestarian serta menyelaras pencapaian penurunan karbon peringkat sekolah. 

Dalam masa yang sama, katanya, ia turut bertepatan dengan misi menanam kesedaran, memberi galakan serta motivasi bagi amalan dan budaya terbaik rendah karbon kepada warga pendidikan di negeri ini.

Tambahnya, kolaborasi ini sekali gus meneruskan legasi UDA dengan menumpukan kepada usaha pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar serta memberi penekanan terhadap kesedaran mengenai keseimbangan ekosistem alam semula jadi.

“Jalinan strategik ini memenuhi antara matlamat Garis Panduan Pembangunan Lestari (SDG) yang sedang dilaksanakan oleh UDA iaitu kesejahteraan dan kesihatan yang baik, kesaksamaan jantina, air bersih dan sanitasi, komuniti dan bandar mampan serta tindakan dan perubahan iklim yang diiktiraf secara global.

“Usaha itu juga bertepatan dengan penjenamaan UDA iaitu LIFE, akronim bagi ‘Legasi (Legacy)’, ‘Integrasi (Integrated)’, ‘Ketelitian (Finesse)’ dan ‘Memperkasa (Enrich)’ yang diterapkan dalam setiap rangkaian perniagaan,” katanya.

Melalui pemeteraian NoU tersebut, UDA turut menyerahkan geran kepada empat ‘Sekolah UDA Lestari’ iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Kompleks UDA, SK Bandar UDA 2, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar UDA Utama dan SMK Bandar Baru UDA, masing-masing menerima bantuan berjumlah RM5,000. 

Pihak sekolah akan memanfaatkan geran tersebut dengan melaksanakan pelbagai aktiviti seperti kutipan minyak masak terpakai, kutipan baju terpakai, tanaman pokok atau berkebun dan sebagainya.

Antara program yang akan dijalankan adalah Hari Anugerah Pendidikan Kelestarian Johor 2024, bengkel latihan berasaskan pembelajaran melalui pengalaman, aktiviti kebajikan dan bengkel pembangunan kapasiti Guru Champion UDA. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN