PETALING JAYA: Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini mengesahkan seorang pendepositnya menjadi mangsa scammer melibatkan wang RM12,000 dipindahkan melalui lima transaksi dalam tempoh empat hari.
TH berkata, pihaknya sudah mengambil langkah proaktif dengan membekukan akaun mangsa bagi mengelakkan berlaku kerugian yang lebih besar.
Katanya, tindakan itu dilakukan tiga hari sebelum aduan mangsa dibuat, selepas TH mendapati terdapat transaksi yang mencurigakan.
“TH juga sedang melakukan siasatan berhubung kejadian itu malah mangsa juga sudah membuat laporan polis dan TH akan sentiasa bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam sebarang siasatan ke atas kes penipuan siber itu.
“TH sekali lagi mengingatkan orang ramai untuk tidak membuka mana-mana mesej dan hantaran yang meragukan atau berkongsi data peribadi dengan mana-mana pihak,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Semalam media melaporkan, seorang bilal masjid berputih mata apabila wang berjumlah RM12,000 dalam akaun Tabung Haji miliknya didakwa dipindah tanpa kebenaran pada Februari lalu.
Laporan dibuat mangsa pada 26 Februari lalu melibatkan kes wang simpanan Tabung Haji yang didakwa berkurangan.
Siasatan polis mendapati, mangsa menerima satu pesanan ringkas dari TH menyatakan terdapat pemindahan wang membabitkan akaun miliknya ke akaun bank individu lain, iaitu sebanyak RM3,000 pada 20 Februari dan dua kali transaksi berjumlah RM1,000 dan RM2,000 pada 21 Februari.
Timbalan Ketua Polis Hulu Selangor, Deputi Superintenden Mohd. Asri Mohd, Venus mengesahkan mangsa membuat laporan pada 26 Februari lalu,
Dalam perkembangan sama, TH turut menegaskan, platform dalam talian THiJARI dibangunkan dengan ciri-ciri keselamatan yang menepati amalan terbaik di pasaran.
“Aplikasi THiJARI dilengkapi dengan pelbagai ciri keselamatan antaranya nama pengguna, kata laluan yang dienkripsi, serta gambar keselamatan untuk memastikan aplikasi itu disambung ke laman web rasmi THiJARI.
“Untuk pertanyaan lanjut, pendeposit boleh berhubung dengan THCC di talian 03-62071919,” katanya. – UTUSAN