PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan digesa mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) bagi menangani laporan serta pengurusan kes buli membabitkan pekerja sektor kesihatan.
Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr. Azizan Abdul Aziz berkata, kementerian juga perlu mewujudkan garis masa bagi melengkapkan siasatan dan penyelesaian laporan kes yang diterima.
Katanya, kedua-dua langkah itu secara tidak langsung mampu mengembalikan kepercayaan pekerja sektor kesihatan terhadap Sistem Pengurusan Aduan Awam (SisPAA) mahupun sistem lain yang menerima laporan membabitkan kes buli.
“MMA juga mahu Kementerian Kesihatan mengehadkan kuasa tertentu yang diberikan kepada ketua jabatan atau pengarah hospital bagi membolehkan pendengaran kes buli diadakan secara adil, sertakan juga ahli panel bebas dalam unit integriti bagi perbicaraan kes buli secara adil,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan seorang doktor lelaki di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh membuat laporan polis kerana menerima surat layang dan mendakwa ia memburukkan namanya.
Surat layang itu ditularkan menerusi Facebook dan X sehingga meraih perhatian pengguna media sosial dengan mendakwa pegawai perubatan terlibat sering melakukan gangguan seksual terhadap doktor pelatih wanita khususnya di Jabatan Ortopedik dan mengugut memanjangkan tempoh latihan mereka.
Dalam pada itu, Dr. Azizan berkata, pihaknya sudah berulang kali mengemukakan jalan penyelesaian bagi memerangi kes buli, namun tiada satu pun diterima pakai Kementerian Kesihatan.
“Kebanyakan cadangan kami tidak memerlukan sebarang perbelanjaan tambahan dana awam. Satu cadangan ialah supaya mengehadkan kuasa pengarah hospital dan ketua jabatan dalam sebarang kes buli.
“Penubuhan Pasukan Petugas Peningkatan Budaya Kerja Penjagaan Kesihatan (HWCITF) Kementerian Kesihatan pada tahun 2022 untuk mengkaji semula budaya kerja dalam penjagaan kesihatan awam adalah satu langkah tepat, tetapi sehingga kini tiada sebarang susulan dengan pelaksanaan mana-mana cadangannya.
“Kerajaan mesti menjelaskan mengapa, terutamanya jika ia membabitkan wang pembayar cukai. Buli menimbulkan risiko besar kepada kedua-dua pesakit dan keselamatan pekerja penjagaan kesihatan dan (laporan buli) itu mesti dilayan dengan penuh kesungguhan,” katanya.
Mengulas surat layang itu, Dr. Azizan berkata, tindakan menyebarkan surat layang di media sosial sangat merisaukan dan mungkin disebabkan mangsa buli kini sudah tidak percaya dengan sistem yang disediakan untuk membuat laporan.
“Bagi mangsa buli di tempat kerja, setiap detik yang mereka tanggung adalah penting. Amat mengecewakan apabila laporan buli yang diterima namun ‘disambut’ dengan respon perlahan dan tindakan kurang memberangsangkan.
“MMA ada menerima laporan daripada sekumpulan doktor di Sabah, bahawa mereka menggunakan saluran yang betul untuk membuat laporan buli yang membabitkan pakar dan pegawai perubatan.
“Bila dimajukan perkara itu kepada kementerian, ia memaklumkan kes itu sedang disiasat. Namun pengadu yang sama baru-baru ini menyatakan bahawa kes buli itu masih berleluasa dan tidak berhenti. Mungkin ada sesuatu yang tidak kena dengan sistem berkenaan,” katanya. – UTUSAN