PETALING JAYA: Tindakan pengasingan diri telah memulihkan semangat pelakon, Syafie Tee, 30, yang sebelum ini pernah dihimpit kontroversi video panas yang tular setahun lalu.
Syafie, yang ditemui baru-baru ini memaklumkan emosinya kini kembali stabil selepas mengambil pendekatan tidak bercampur dengan masyarakat sebaliknya menghabiskan banyak masa untuk diri sendiri.
“Kontroversi yang melanda sebelum ini sebenarnya menguatkan dan membuka banyak pintu rezeki untuk saya. Tak pasti apa yang Tuhan berikan, yang penting sekarang semangat saya sudah pulih.
“Selama satu tahun saya pencilkan diri, melakukan banyak aktiviti sendirian. Saya sedar cara itu sebenarnya memperbaiki dan memberikan perubahan kepada diri saya,” katanya.
Syafie berkata demikian selepas pelancaran drama Terlanjur Cinta terbitan platform penstriman, Viu.
Syafie pada 2022 menjadi buah mulut masyarakat selepas didakwa bercumbu dengan individu yang dikatakan seorang transgender menerusi sebuah video yang tular di media sosial.
Kesahihan dakwaan tersebut kekal menjadi tanda tanya apabila tiada pengesahan dibuat Syafie.
Pelakon tinggi lampai ini dalam pada itu berkongsi rutin yang dilakukannya sepanjang satu tahun mengasingkan diri daripada masyarakat.
“Saya kerap berkurung di rumah, keluar pun untuk ke masjid dan bersenam di gimnasium. Amal pemakanan sihat dan tidur tepat waktunya.
“Saya kurang bercampur dengan masyarakat, tengok wayang, beriadah di pusat karaoke dan makan di luar sendirian tanpa berteman.
“Bukanlah saya tak mahu berkawan, tapi saya percaya cara itu membolehkan saya fokus kepada diri sendiri,” kongsinya.
Sementara itu, Syafie memaklumkan teruja apabila pertama kali ditawarkan membintangi drama untuk tayangan penstriman dalam talian menerusi Terlanjur Cinta.
Drama tersebut diterbitkan Erma Fatima dan diarahkan pengarah, Izuan Mokhtar serta turut dibintangi Umie Aida, Puteri Balqis, Syafiq Kyle, Khir Rahman dan Syafie Naswip.