Selepas gagal ke Liga Super, Perlis United digesa bayar tunggakan gaji - Utusan Malaysia

Selepas gagal ke Liga Super, Perlis United digesa bayar tunggakan gaji

KERATAN Utusan Malaysia 21 Mac.- UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Selepas gagal memenuhi syarat ke Liga Super, pengurusan Perlis United FC (PUFC) digesa pula untuk membayar tunggakan gaji dua bulan pemain dan pengurusan pasukan yang sudah berlarutan hampir lima bulan.

Perlis United dikatakan masih belum membayar tunggakan gaji September dan Oktober tahun lalu dan mereka juga didakwa beberapa kali berjanji untuk menyelesaikannya namun sehingga hari ini masih gagal realisasikan.

Sumber dari pasukan Perlis United yang enggan mendedahkan namanya memberitahu, hampir memasuki setengah tahun namun tunggakan gaji masih belum diselesaikan sedangkan para pemain ini bukannya terdiri daripada golongan senang.

Kata sumber itu, tunggakan gaji membabitkan anggaran 23 pemain dan 12 orang daripada pengurusan pasukan dengan dianggarkan sekitar RM150,000 sahaja namun masih tidak mampu diselesaikan sebaliknya berangan mahu beraksi di Liga Super.

Ujarnya, ada pemain yang terpaksa meminjam, ada kereta yang hampir ditarik dan mereka juga mempunyai keluarga untuk disara.

“Kami juga risau apabila Perlis United gagal memenuhi syarat ditetapkan Malaysian Football League (MFL) dengan salah satunya perlu menyelesaikan tunggakan gaji pemain, bagaimana nasib kami selepas ini.

“Kita berharap pengurusan Perlis United dapat menyelesaikan tunggakan gaji sebelum Aidilfitri ini bagi membolehkan pemain-pemain beraya dalam keadaan lebih selesa,” katanya.

Kelmarin Utusan Malaysia melaporkan, harapan tinggi rakyat dan penyokong setia Singa Utara untuk melihat pasukan bola sepak negeri ini kembali bangkit beraksi di pentas utama liga bola sepak negara nampaknya terus tinggal angan-angan.

Perlis United yang menjadi harapan untuk mewakili negeri ini kembali beraksi di pentas Liga Super selepas lebih 13 tahun gagal memperolehi lesen kebangsaan saingan Liga Super 2024/2025 sekali gus mengecewakan penyokong bola sepak di negeri ini.

Perlis United gagal memenuhi syarat-syarat tambahan selepas pengumuman berkenaan keputusan Lesen Luar Biasa (Extraordinary License) M3 Amateur Football League (AFL) pada 7 Mac lalu.

Sebelum ini, pengurusan Perlis United mengakui bahawa ada penaja yang sudah menarik diri daripada menaja kelab tersebut namun masih ada juga penaja yang kini berada pada fasa terakhir perbincangan berhubung penajaan terhadap kelab berkenaan.

Malah Perlis United sebelum itu juga memberi jaminan untuk sedia melaksanakan apa jua syarat tambahan yang diarahkan MFL dalam memastikan impian kelab tersebut dapat mengisi slot ke-14 menyertai Liga Super 2024/2025.

Tambah sumber berkenaan, pengurusan Perlis United perlu fokus menyelesaikan isu tunggakan gaji terlebih dahulu sebelum berhasrat beraksi lagi dalam saingan Liga M3 selepas ini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya