SUKAR untuk menebak dalam isi hati pelakon lelaki seorang ini. Mungkin ini kali pertama kami benar-benar bersua bicara, lantas menjadikan perbualan awal sedikit teratur dan berhati-hati. Tidak terlalu mendalam.
Beberapa soalan dilontarkan, dia menyambut dengan tertib. Senyuman tidak lekang dari bibir, membuatkan saya tertanya-tanya, ‘siapa’ sebenarnya pemilik nama sebenar Nas Muammar Zar Nasruddin ini.
Mungkin cerita peribadinya jarang sekali singgah di carta cerita sensasi hiburan membuatkan dia jauh daripada ruang kontroversi. Namun dia antara pelakon lelaki yang memberi impak, menerusi drama dan filemnya.
Soalan saya ringkas, siapa Nas- T yang mungkin orang ramai tidak tahu? Siapa dirinya di sebalik topeng aktor yang bakal menjayakan watak ikonik, Keluang Man itu?
“Seorang manusia biasa, itulah saya. Tetap ada ujian dan cabaran merintang kehidupan. Tetapi saya selalu ingatkan diri untuk bersyukur dengan segala apa yang ada. Saya bahagia dengan hidup ini.
“Saya seorang pelakon, sasaran saya mahu jadi seorang pelakon yang hebat dari apa yang saya lakukan sekarang. Cukup sekadar orang tahu saya berdasarkan bakat dan kemampuan yang Tuhan pinjamkan.
“Bukan harta benda, wang berkepuk-kepuk yang saya utamakan tetapi hasil kerja yang mampu memberikan sesuatu kepada masyarakat. Kerja lakonan bukan sekadar mencari wang ringgit, lebih daripada itu,” ujarnya membuka bicara.
Tetapi dia tidak dapat lari daripada persepsi segelintir pihak yang menganggap dia sebagai pelakon sombong. Tidak tahu bertegur dan beramah mesra. Seakan ada dinding yang menghalang keramahan itu.
Sedar dengan persepsi yang ada dalam segelintir fikiran, pelakon berusia 40 tahun itu tidak mampu mengawal tanggapan orang terhadapnya. Namun dia menegasnya tidak ada perkataan sombong dalam kamus hidupnya.
“Mungkin sebab raut wajah saya ini seperti sedang marah, kalau dalam bahasa Inggeris orang gelar resting face. Tetapi itulah, nak buat macam mana. Kalau saya gembira pun beginilah wajah saya.
“Tapi saya sedar, itu akan mencipta persepsi yang mungkin negatif untuk saya. Jujur saya seorang yang ramah sahaja. Kalau orang tegur ajak berborak, saya okay. Tidaklah saya tolak begitu.
“Cuma itulah, soal wajah itu saya tidak dapat nak elak. Persepsi orang pun saya tidak dapat kawal. Saya harap dengan naskhah Keluang Man, dapat menonjolkan sisi berbeza yang mungkin tidak terlihat,” ujarnya.
SANGSI MEMBUNUH YAKIN
“Kenapa Nas-T? Layak ke dia sebagai Keluang Man?”
Itu antara soalan yang singgah di telinga saya ketika nama pelakon yang mencipta populariti menerusi drama fenomena, Kami itu diumumkan sebagai penyandang watak karikatur ikonik, Keluang Man.
Belum mula penggambaran pun, kredibilitinya sudah diragui. Biarpun ramai rakan industri seni yang mengangguk setuju, namun ada tanggapan melihat dia terlalu kecil untuk menjayakan watak itu.
Namun, jangan dilihat bakat seseorang hanya dari wajah dan tingkat populairiti. Bukan mahu memenangkan pelakon lelaki itu, namun Nas-T punya ‘jiwa’ yang perlu dibebaskan menerusi karakter tersebut.
Bagi anak kelahiran Kuala Lumpur itu, dia tidak meraih kejayaan menerusi sesi kipas mengipas atau menabur janji setinggi bintang di langit. Dia menyerahkan hasil kerja sebagai bukti kemampuan diri.
“Ada cakap, saya ini ketinggian tak cukup. Tak sesuai. Tetapi saya percaya, bila kita di landasan betul, pasti ada sebab semuanya terjadi. Ada positif dan negatifnya. Saya tahu, hidup tidak hanya ada putih.
“Saya secara terbuka menerima apa sahaja pandangan. Semua ini untuk kebaikan watak itu sendiri. Mungkin ada yang gusar dengan tanggungjawab yang saya pikul ini. Keluang Man kot, saya sendiri pun gusar.
“Tetapi inilah harga yang saya perlu bayar ketika menerima tawaran tersebut. Ada pengorbanan yang saya harus lakukan. Itu semua demi menjayakan karakter yang cukup dekat di hati penonton,” kongsinya.
Tatkala dia menyebut tentang kegusaran, saya memancing jawapan dengan bertanyakan mungkinkah pertikaian orang ramai mewujudkan kesangsian terhadap kemampuan dirinya sendiri?
“Saya tak boleh tipu diri sendiri, sedikit sebanyak sangsi itu ada. Tetapi saya anggap itu sebagai sesuatu yang bagus. Jika terlalu yakin, tak mahu dengar nasihat orang pun tak boleh. Ini satu projek yang sangat besar.
“Menjadi Keluang Man itu bukan kerja saya seorang. Tugas itu memerlukan pasukan dan gerak kerja yang sangat hebat. Saya berharap agar semuanya dipermudahkan kelak,” ujarnya yang bakal memulakan penggambaran untuk filem itu April depan.
MENGELAK KONTROVERSI MURAHAN
Mahu atau tidak, kerjaya sebagai anak seni itu menuntut kesabaran dan perhatian khusus untuk mengelakkan cerita sensasi. Lainlah kalau itu yang didambakan, maka bersusun rencana memancing kontroversi.
Mengajukan soal kontroversi kepada Nas-T, dia terus menggelengkan kepala. Sebolehnya dia mahu mengelak dirinya untuk terjerumus ke dalam kancah sensasi itu. Sementelah, dia punya keluarga, isteri dan anak yang perlu dijaga hati.
“Ujian itu memang akan ada tetapi tugas kita untuk cuba mengelakkan. Kalau tidak mahu kontroversi, jangan layan. Kalau kita benarkan itu, macam kita sendiri yang menjemput masuk kecaman.
“Orang mahu tengok hasil kerja, bakat dan kemampuan. Sampai bila kita mahu berpegang kepada kontroversi. Untuk kekal relevan itu adalah sesuatu yang sukar diraih. Kerja perlu sama baik dengan nama.
“Saya seorang yang mudah, tahu tanggungjawab sebagai anak, suami dan bapa. Saya cuba bahagikan masa sebaiknya. Bila tidak ada penggambaran, saya yang pergi pasar, jaga anak-anak.
“Sejujurnya, saya suka dengan kehidupan yang ada sekarang. Tuhan itu sentiasa memberi, kita yang harus syukuri. Saya takkan sia-siakan apa yang ada dalam hidup saya. Tidak sempurna tetapi mencukupi,” ujarnya.
Bercakap tentang masa, bagaimana dia membahagikan masa dengan latihan, lakonan dan keluarga? Apatah lagi, tinggal sepurnama sebelum mula penggambaran, pasti dia giat melatih diri.
“Sebab itu kena pandai bahagi masa. Filem ini banyak aksi, jadi saya perlu hadiri kelas dan latihan intensif. Kalau berat badan ideal untuk watak, saya sudah capai. Itu menuntut pengorbanan selera,” selorohnya.