KUALA LUMPUR: Penyanyi, Nizam Laksamana, 58, meluahkan rasa sedih dan terkilan kerana tiga sahabat baiknya yang telah meninggal dunia iaitu Ibnor Reza, Tiar Jinbara dan Gmie Screen tidak bersama-sama menjayakan Showcase Amal Artis Legenda 4.0 yang diadakan pada Jun depan.
Kata Nizam, pemergian ketiga-tiga rakan ibdustri seninya itu adalah bersama dorongan dan semangat yang semasa hayat mereka dicurahkan sebagai sokongan kepadanya bagi meneruskan showcase tersebut.
“Mereka semua adalah rakan baik saya. Kami bergelak ketawa dan berkongsi banyak kenangan bersama. Macam mana saya tak terkesan dengan ketiadaan mereka?
“Arwah Ibnor contohnya, saya tahu keadaannya ketika dia sakit, berada dengannya pada saat-saat terakhir hidupnya. Begitu juga arwah Tiar yang sempat saya mandikan jenazahnya dan Gmie yang sempat saya bertemunya sebelum arwah meninggal dunia.
“Saya rasa kehilangan yang cukup besar apabila mereka tidak bersama saya dalam showcase ini,” katanya selepas sidang media showcase tersebut semalam.
Showcase Amal Artis Legenda 4.0 yang akan diadakan pada 1 Jun 2024 bakal menampilkan barisan penyanyi popular bertaraf legenda tanah antaranya zamani Slam, Zarul Umbrella, Acong Sweetchild, Tam Spider, Shafie Rio, Ameng Spring, Dwen, Ady Wow, Mawi dan Wann.
Ditanya tentang kekuatan, Nizam memaklumkan semangat dan keikhlasan rakan industri yang masih ada dan yang telah pergi menjadi pendorong kepadanya untuk meneruskan showcase tersebut sehingga edisi ke-4.
“Mereka memberi sokongan agar saya teruskan showcase ini. Ada yang tak kisah tentang bayaran asalkan dapat membantu saya jayakan showcase ini.
“Susah nak dapat kawan-kawan begini, yang ikhlas dan miliki semangat setia kawan yang tinggi,” kongsinya.
Dalam pada itu, Nizam juga telah menetapkan penganjuran showcase itu pada kali ini sebagai penglibatannya yang terakhir selaku penganjur.
Katanya keputusan itu diambil berikutan komitmen terhadap diri sendiri dan keluarga yang perlu diberikan lebih perhatian selepas ini.
“Umur saya sudah 58 tahun. Hidup mungkin tak lama. Isteri saya pula masih dalam rawatan untuk pulih daripada kanser yang dihadapinya selain anak saya yang masih bersekolah.
“Jadi saya putuskan edisi ini adalah yang terakhir saya anjurkan bagi membolehkan saya melakukan sesuatu yang lain untuk diri sendiri dan keluarga.
“Cuma saya harap ada pihak lain teruskan dengan nama yang lain. Pakailah konsep yang sama dan buatlah dengan bersungguh,” kongsinya.