Ramadan: LLM jangka trafik waktu puncak meningkat 

Ramadan: LLM jangka trafik waktu puncak meningkat 

LLM menjangka bilangan kenderaan di lebuh raya bertol akan bertambah pada waktu puncak dalam Ramadan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menjangkakan peningkatan jumlah trafik di lebuh raya bertol semasa pulang dan pergi bekerja pada bulan Ramadan ini. 

Dalam satu kenyataan, LLM berkata, pihaknya sudah mengarahkan semua syarikat konsesi lebuh raya melakukan persediaan rapi bagi mengatasi masalah kesesakan pada waktu puncak di bulan puasa itu. 

Menurutnya, langkah itu agar perjalanan pengguna lebuh raya lebih selesa, selamat dan lancar untuk berbuka puasa dengan keluarga sepanjang tempoh berkenaan. 

“Antara inisiatif-inisiatif yang perlu dilaksanakan iaitu menyelaras semula lokasi dan masa penutupan lorong untuk kerja-kerja penyelenggaraan selaras dengan waktu pulang/pergi dari bekerja sama ada di sektor kerajaan atau swasta yang akan berubah berbanding waktu kerja biasa. 

“Selain itu, menjadualkan semula waktu pengaktifan laluan tidal atau smartlane selaras dengan perubahan waktu kerja; memastikan semua kemudahan yang disediakan di kawasan rehat  dan rawat, hentian sebelah serta plaza tol dalam keadaan baik termasuk aspek bekalan air dan tahap kebersihan; serta mengenalpasti lokasi-lokasi tumpuan dan menyediakan kemudahan tambahan sementara bagi menangani peningkatan jumlah pengguna. 

“Seterusnya, meningkatkan kerjasama bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) membantu kelancaran pergerakan trafik terutamanya di lokasi-lokasi yang kritikal seperti lampu isyarat selepas susur keluar lebuh raya bagi mengelakkan limpahan trafik ke laluan utama lebuh raya,” katanya. 

Pada masa sama, LLM turut meminta syarikat konsesi menyelaraskan semula tempoh sela masa untuk lampu isyarat berdasarkan waktu puncak dalam Ramadan; melakukan pemeriksaan peralatan tol bagi memastikan tiada gangguan terhadap sistem kutipan tol dan menempatkan petugas di plaza tol yang kritikal dengan menyediakan peralatan bagi membantu mempercepat dan melancarkan pergerakan trafik. 

Tambah kenyataan itu, mereka juga disaran melaksanakan penyediaan lorong tambahan sama ada secara lorong manual, berlapis atau reverseable lane di plaza-plaza tol yang kritikal dan menempatkan pasukan Emergency Response Team (ERT) di lokasi strategik untuk menangani sebarang insiden atau kejadian dengan segera bagi mengelakkan impak yang berpanjangan. 

Syarikat konsesi juga diharap menempatkan petugas di lokasi hotspot berkemungkinan berlaku kesesakan berikutan penganjuran bazar Ramadan atau aktiviti lain di sepanjang jajaran utama lebuh raya dan membuat hebahan status trafik semasa secara berterusan melalui media sosial dan radio untuk memaklumkan situasi trafik. 

“Para pengguna juga dinasihatkan untuk memastikan baki nilai kad Touch ‘n Go dan ewallet sentiasa mencukupi bagi setiap perjalanan yang dibuat serta mematuhi segala arahan papan tanda dan petugas keselamatan yang ditempatkan di lokasi-lokasi yang telah dikenalpasti. 

“Pengguna lebuh raya boleh menghubungi Pusat Pengurusan Trafik (TMC), LLM di talian 1-800- 88-7752 untuk mendapatkan maklumat keadaan trafik atau mendapatkan bantuan,” kata kenyataan itu. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya