KANGAR: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan melawat ke sebuah gerbang laut berusia jutaan tahun di Bukit Besi Hangit, di sini, semalam.
Kunjungan baginda ke lokasi berkenaan adalah bersempena dengan kayuhan amal Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) Peduli di sekitar kawasan Kangar.
Ketibaan baginda ke lokasi itu disambut oleh Pengasas Perlis Nature Xplorer (PNX), Syamil Abd. Rahman.
Dalam pada itu, Syamil berkata, paras lautan kuno yang lebih tinggi di kawasan berkenaan sekitar 6,000-10,000 tahun lalu telah membentuk formasi batuan itu yang berpunca daripada hakisan air.
“Gerbang laut ini terhasil dengan sangat unik apabila tiang gerbangnya hampir menegak.
“Turut ditemui adalah fosil gastropod dan trilobite yang melekat pada batu kapur di sini yang menjadi penentu kepada usia batuan di Perlis berusia sekitar 480 juta tahun,” katanya sewaktu mempersembahkan maklumat mengenai gerbang laut itu kepada Tuanku Syed Faizuddin.
Mengulas lanjut. Syamil berkata, terdapat sebuah lagi gua ditemukan di bukit sama dikenali sebagai Gua Gergasi dan merupakan salah satu gua arkeologi yang semakin dilupakan namun pernah menggemparkan negara sekitar tahun 1985.
Katanya, penemuan beliung batu dan tembikar berkaki tiga (tripod) merupakan penemuan penting bagi membuktikan kewujudan masyarakat neolitik hoabinhian yang sinonim dengan Perlis.
“Ia ditemukan oleh murid-murid Sekolah Menengah Putra sebelum ini termasuk dengan serpihan fosil dagu manusia malah penemuan itu mencadangkan bahawa gua tersebut merupakan tapak pengkebumian masyarakat neolitik kira-kira 5,000 tahun lampau.
“Dengan penemuan ini, ia wajar dipelihara dan dicadangkan sebagai salah satu geotapak bagi Perlis Geopark,” katanya.
Menerusi program kayuhan itu, Tuanku Syed Faizuddin turut berkenan menyantuni asnaf terpilih di mana setiap daripada mereka menerima sumbangan MAIPs berupa wang tunai RM700, Kit MAIPs Peduli dan beras fidyah.
Baginda juga berkesempatan menyampaikan sumbangan kepada Ramli Mat Isa, 80, dari Kampung Behor Empiang, Hasidan Othman, 72, dan Milah Daud, 69, dari Kampung Ujung Bukit.-UTUSAN