“Saya ingin harumkan nama Malaysia suatu hari nanti,”
Demikian tekad pelakon remaja, Qistina Raisah, 16, menceritakan kecintaannya terhadap sukan hoki ais.
Belum setahun dibimbing jurulatih, Gary, menerusi Kelab Hoki Ais Frostbiters Sunway Pyramid, Qistina bagaimanapun sudah diberi kepercayaan untuk bersaing dalam beberapa kejuaraan.
Selain menentang pasukan negara jiran seperti Singapura dan Indonesia di Johor awal tahun lalu, Qistina meneruskan perjuangannya dalam beberapa liga terbuka bermula Februari lalu.
“Seperti yang dimaklumkan sebelum ini, saya bersekolah dari rumah. Jadi tiada aktiviti kokurikulum yang spesifik.
“Saya pun mencari sukan untuk diceburi memandangkan saya seorang yang lasak.
“Awalnya saya hanya gemar bermain luncur ais. Sehinggalah suatu hari kawan saya memperkenalkan saya dengan sukan hoki ais. Minat terhadap sukan ini mula bercambah,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Mula berlakon di usia empat tahun, Qistina membelanjakan ribuan ringgit untuk menyambung minatnya itu.
“Persediaan kelengkapan untuk sukan ini menelan kos yang agak besar untuk membeli kasut, jersi, kayu hoki dan membayar yuran pertandingan.
“Tapi, bagi pertandingan di Johor tempoh hari, saya tidak mengeluarkan wang simpanan, sebaliknya menggadaikan barang kemas untuk membeli kelengkapan.
“Alhamdulillah, saya menang tempat ketiga dan berjaya menebus semula barang kemas itu,” tambahnya.
Dalam pada itu, sukan hoki ais membuatkan pelakon Lafazkan Kalimah Cintamu ini berkawan dengan ramai pemain berbeza usia.
“Mereka tidak tahu dan tidak peduli sama ada saya artis atau tidak. Di gelanggang, kita semua sama.
“Saya mahu perkenalkan sukan hoki ais ini kepada rakyat Malaysia memandangkan ia belum popular di sini.
“Di luar negara, pertandingan hoki ais disiarkan secara langsung di televisyen. Semoga satu hari nanti kita melihat perkara sama di Malaysia,” tambahnya.