PM mahu tindakan segera, jangan benarkan penghinaan agama

PM mahu tindakan segera, jangan benarkan penghinaan agama

ANWAR Ibrahim menyantuni pengamal media pada majlis berbuka puasa di Seri Perdana, Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu tindakan segera diambil mengikut lunas undang-undang bagi menyelesaikan isu polemik berkaitan penjualan stoking yang tertera kalimah Allah dijual di KK Super Mart.

Perdana Menteri berkata, sekiranya ada laporan berkaitan, keputusan perlu dibuat mengikut jalur hukum undang-undang negara.

Dalam hal itu, beliau tidak mahu semua pihak terperangkap dalam isu-isu yang berpanjangan dan tidak boleh ada penghinaan terhadap agama, apatah lagi Islam.

“Jadi jangan kita terus menerus dengan perbincangan yang seolah-seolah menjadi satu malapetaka yang besar dalam negara.

“Amb tindakan tegas, segera dan kita harus kemudian maju dalam lapangan yang kita nak terokai,” katanya ketika ditemui selepas majlis berbuka puasa bersama pengamal media di sini hari ini.

Sebelum ini, tular gambar stoking tertera kalimah Allah yang dijual di KK Super Mart Bandar Sunway selepas ia dimuat naik oleh pengguna di media sosial sejak 13 Mac lalu.

Susulan itu, pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Super Mart, Datuk Seri Dr KK Chai tampil memohon maaf.

Polis turut mengesahkan berjaya menemui lima pasang stoking tertera kalimah Allah dalam sebuah kilang yang beroperasi di Kawasan Perindustrian Sri Gading, Batu Pahat, Johor.

Anwar pada masa sama mengingatkan semua pemimpin politik yang masih bertikam lidah dalam isu berkenaan agar tidak terlanjur atau mengikut pemikiran sempit masing-masing.

Katanya, sesama pimpinan dalam kerangka politik yang bebas dan demokratik, ia tidak boleh diikuti sistem walak.

“Masalah ada dan tindakan diambil dan maju terus, apa bentuk hukuman pun, jangan hukuman yang melampau.

“Ada orang lakukan kesalahan, seperti kita juga lakukan kesalahan, kadang-kadang kecuaian, jadi jangan ikut seolah-olah mendera orang lebih daripada yang sepatutnya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya