HATYAI: Kerajaan Malaysia dan Thailand diharap mempertimbangkan supaya masa penutupan sempadan di Padang Besar dilewatkan dari pukul 10 malam ke 12 tengah malam.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, ia bagi memberi ruang lebih banyak pengunjung daripada Thailand bertandang ke Perlis.
Baginda juga berharap pintu masuk di Kuala Perlis akan dibuka kembali serta kemudahan ‘free flow’ di Wang Kelian dibenarkan semula.
Demikian titah baginda pada majlis pelancaran Promosi Masakan Perlis iaitu Kurma Daging Perlis di Yannanty Hotel, Hat Yai, Thailand sempena Hari Media Dan Pelancongan Malaysia-Selatan Thailand 2024.
Baginda dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan menyerahkan plakad sebagai simbolik promosi tersebut kepada Ketua Pegawai Eksekutif hotel berkenaan iaitu Rachen Attamart.
Hadir sama, Gabenor Wilayah Songkhla, Somnuek Promkhieo dan Gabenor Wilayah Pattani, Patimoh Sadiyamu.
Turut hadir ialah Naib Gabenor Narathiwat, Chatchai Usaha, Naib Gabenor Satun, Kanit Kongchouy dan Timbalan Gabenor Yala, Olan Bilsan.
Hari Media tersebut dianjurkan atas inisiatif bersama oleh Persatuan Media Selatan Thailand bersama-sama Persatuan Wartawan Perlis (PWP), Persatuan Perdagangan dan Pelancongan Halal Thailand – Asia Tenggara (TAHTA) dan Sekretariat Kebangkitan Nusantara Sejahtera (SKNS).
Menyentuh mengenai pelancongan secara khususnya, baginda menyarankan pihak media memainkan peranan dalam mempromosi dan melaporkan sebarang aktiviti yang berlaku serta keunikan atau keindahan destinasi pelancongan.
Baginda memohon pihak media yang hadir membantu mewar-warkan mengenai kempen Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024-2025.
“Promosikanlah mengenai pusat-pusat pelancongan, acara-acara yang diadakan, lokasi-lokasi yang menarik serta juga juadah istimewa yang ditawarkan di negeri Perlis.
“Media juga harus mengangkat pelancongan Perlis sebagai pelancongan mesra Muslim dan tiada jurang besar mengenai bahasa memandangkan ada rakyat Perlis yang boleh berbahasa Thai. Apatah lagi dalam situasi semasa pertukaran mata wang yang memihak kepada Thai Baht,” titah baginda.
Tuanku Syed Faizuddin juga mencadangkan supaya di masa hadapan program sebegini boleh dianjurkan dengan penglibatan sama oleh rakan-rakan media dari Indonesia selaras dengan inisiatif Pertumbuhan Segi Tiga Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) seperti mana yang pernah dilaksanakan di Perlis beberapa tahun yang lalu.-UTUSAN