Perkeso wujudkan SKSSR perkasa golongan wanita

Perkeso wujudkan SKSSR perkasa golongan wanita

MOHAMMED AZMAN AZIZ MOHAMMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) mengorak langkah mewujudkan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) bagi menangani jurang perlindungan bagi individu dalam ekonomi penjagaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Perkeso, Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, kekangan yang membelenggu pembabitan wanita dalam tenaga kerja mesti ditangani dan menyokong usaha wanita mengimbangi antara peranan profesional mereka dan tanggungjawab terhadap keluarga serta menyediakan khidmat penjagaan.

“Memandangkan wanita lebih cenderung menggalas peranan penjagaan, pelanjutan tempoh faedah bersalin dan pengambilan cuti menjaga anak secara kerap sering dilihat sebagai kos tambahan untuk majikan, sekali gus memaksa kebanyakan wanita untuk berundur daripada sektor tenaga kerja.

“Untuk merungkai masalah ini, Perkeso meneroka penyelesaian alternatif seperti merencana faedah tunai bersalin dan cuti menjaga anak ke dalam model insurans sosial Perkeso,” katanya.

Menurut Azman, usaha ini bagi mengurangkan beban kewangan majikan dan pekerja dalam berdepan perhal berkaitan melahirkan zuriat.

Menurut Bank Dunia, wanita kurang terlibat dalam tenaga kerja apabila hanya separuh daripada mereka yang berpotensi berkerjaya berada dalam tenaga kerja, berbanding lelaki sebanyak 80%.

Di Malaysia, angka ini dilaporkan sedikit tinggi pada paras 55.5%, namun agak ketinggalan berbanding negara ASEAN lain termasuk Laos, Singapura, Vietnam dan Kemboja.

Perbandingan ini menunjukkan sebahagian besar wanita di Malaysia tercicir daripada meraih peluang pekerjaan formal yang menawarkan gaji yang lebih baik dan jaminan perlindungan sosial.

Justeru itu, Azman berkata, pelaksanaan program pasaran buruh ad-hoc sedia ada di bawah program Perkeso Daya Kerja juga sedang giat dilaksana untuk menyasarkan sokongan kepada kumpulan terpinggir bagi memudahkan pembabitan mereka dalam tenaga kerja dengan jayanya.

“Selari misi kerajaan untuk mengukuhkan Sistem Insurans Pekerjaan (EIS), kini adalah masa yang tepat untuk meningkatkan faedah bersalin dan cuti berbayar bagi menjaga anak untuk menggalakkan lebih ramai wanita menyertai tenaga kerja.

“Sempena Hari Wanita Sedunia pada bulan Mac, sudah tiba masanya untuk kita komited memajukan dasar dan amalan yang bukan sahaja membolehkan wanita untuk mengambil bahagian sepenuhnya dalam tenaga kerja tetapi juga mengukuhkan struktur ekonomi dan sosial Malaysia secara keseluruhan,” ujarnya. – UTUSAN

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN