SHAH ALAM: Cita-cita untuk menjadi seorang pereka fesyen bukan mempunyai kemahiran mereka semata-mata, sebaliknya mesti berkebolehan menjahit pakaian dan mampu menghasilkan produk direka.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kalpana Singh Design Studio Sdn. Bhd., Kalpana Singh berkata, kerjaya pereka fesyen adalah sesuatu yang perlu dipandang serius dan tidak menganggapnya sebagai sesuatu yang mudah.
“Seorang pereka fesyen mesti tahu menjahit (A fashion designer must be able to sit behind the sewing machine). Mereka bukan sekadar tahu tentang rekaan pakaian tetapi mampu menjahit dan membuat paten untuk pakaian yang direka.
“Disebabkan perkara itu dipandang mudah, ramai bercita-cita menjadi pereka fesyen dan belajar sehingga peringkat tinggi, namun tidak tahu asas menjahit, membuat paten dan sebagainya,” katanya yang juga pengasas The International Sewing School.
Malah jelasnya, menjahit adalah salah satu kemahiran dalam Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bole dipelajari oleh semua orang tanpa mengira latar belakang.
“Saya sendiri adalah graduan bidang tersebut dari sebuah kolej terkemuka di India. Kemudian menjadi pereka fesyen dalam pelbagai syarikat dan industri termasuk mereka beg dan kasut sebelum membuka pusat latihan menjahit.
“Zaman sekarang, setiap orang mesti mempunyai kemahiran dan menjahit adalah salah satu daripadanya. Bayangkan dalam keadaan yang mana orang mempunyai kerjaya tiba-tiba hilang pekerjaan, dengan kemahiran mereka boleh memulakan semula,” ujarnya.
Dalam pada itu, Kalpana turut memberitahu beliau mengambil inisiatif membuka pusat latihan menjahit sebagai peluang kepada mereka yang berminat mempelajari dan membina portfolio.
“Sejak ditubuhkan pada 2011, ribuan tenaga mahir lahir dari institut tersebut termasuklah pereka fesyen terkenal seperti Juita Jalil dan juga pelakon terkenal, Dini Schatzmann.
“The International Sewing School menawarkan kursus jahitan tahap satu hingga tiga yang diiktiraf oleh Sijil Kemahiran Malaysia (SKM). Tahap satu dan dua kemasukan bermula Julai ini dan tahap tiga pula pada Januari tahun depan,” katanya. – UTUSAN