Penyelidikan, perancangan strategik organisasi ketenteraan perlu teliti - Utusan Malaysia

Penyelidikan, perancangan strategik organisasi ketenteraan perlu teliti

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menerima cendera kenangan daripada Noorhakimie di KD Sri Semporna di Semporna, Sabah semalam. UTUSAN/SYED AZLAN SAYID HIZAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEMPORNA: Penyelidikan dan perancangan strategik pembangunan organisasi ketenteraan adalah penting untuk dijalankan dengan penuh teliti termasuk melihat faktor merangkumi risiko tinggi, teknologi dan impak kewangan.

Raja Muda Perlis, Brigadier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, sebarang kesilapan langkah boleh mengakibatkan kemudaratan negara merentasi pelbagai domain.

Titah baginda, kekuatan ketenteraan antara negara berbeza-beza dan bergantung kepada matlamat atau pendekatan setiap negara.

“Sesetengah negara membangunkan organisasi ketenteraan mereka dengan niat untuk terlibat dalam peperangan, negara lain juga sudah pastinya telah memberi tumpuan untuk mempertahankan kedaulatan negara mereka

“Jika melihat kepada lokasi geografi, Malaysia menghadapi pelbagai kebimbangan keselamatan sempadan, merangkumi darat, laut dan udara.

“Kebimbangan ini termasuk aktiviti jenayah rentas sempadan, pencerobohan nelayan asing di perairan Malaysia dan pencerobohan pesawat tentera asing ke ruang udara negara.

“Akibat daripada cabaran itu, terdapat anggota keselamatan telah kehilangan nyawa semasa menjalankan tugas menjaga keselamatan negara,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika Majlis Berbuka Puasa bersama warga KD Sri Semporna yang berlangsung di Pengkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Jalan Tagasan, Semporna, Sabah.

Keberangkatan baginda disambut Panglima Wilayah Laut 2 TLDM, Laksamana Muda Datuk Khir Junaidi Idris, J5 Markas Angkatan Bersama Laksamana Muhammad Rodhi Ariffin dan Pegawai Memerintah KD Sri Semporna Komander Noorhakimie Isa.

Dalam majlis sama, pangkalan tersebut turut menerima sumbangan program keagamaan, peralatan kendiri, sumbangan majlis berbuka puasa, buku ilmiah, makanan kering dan jus harumanis serta kotak makanan.

Kesemua barangan tersebut sumbangan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Jabatan Mufti Perlis, Lembaga Pemasaran Pertanian Negeri Perlis, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perlis, AEON Big (M) Sdn. Bhd. dan Yayasan Kebajikan Perlis.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah, isu keselamatan sempadan di Malaysia agak kompleks berikutan persamaan budaya dan pertalian persaudaraan antara beberapa kelompok masyarakat di negara jiran.

Titah baginda, penyelidikan yang meluas diperlukan untuk menangani isu ini dengan berkesan dengan mengambil contoh hubungan yang wujud khususnya di Perlis, Kedah, Perak, Kelantan, Sarawak dan Sabah turut menyumbang kepada peningkatan aktiviti rentas sempadan.

“Adalah menjadi tanggungjawab buat semua peringkat pasukan keselamatan bagi terus mengembleng tenaga dalam membentuk ketumbukan yang stabil dalam mengukuh kawalan sempadan negara.

“Masa yang dikorbankan serta nyawa yang dipertaruhkan pastinya tidak akan disia-siakan dan beta menasihatkan anggota pertahanan terus berpegang teguh kepada ikrar mereka sehingga ketitisan darah yang terakhir bagi mempertahankan kedaulatan tanah air tercinta.

Terdahulu, Tuanku Syed Faizuddin turut berkenan mengadakan lawatan dan memeriksa aset-aset terkini Pasukan Khas Laut (PASKAL) TLDM di pangkalan tersebut.

Baginda turut menzahirkan ucapan terima kasih atas penganjuran majlis berbuka puasa ini dan berharap agar ukhwah dalam kalangan anggota akan terus terjalin dengan baik serta setiap tanggungjawab dan amanah yang dipikul perlu dijalankan dengan sebaik-baiknya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya