PETALING JAYA: Penguatkuasaan semula larangan merokok di tempat awam bukan bertujuan menghukum perokok sebaliknya dilaksanakan bagi mengelakkan komplikasi kepada golongan perokok pasif yang berada di sekeliling.
Menegaskan tindakan itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan, merokok dan penggunaan rokok elektrik atau vape bukan sahaja membahayakan perokok itu sendiri malah memberi kesan buruk kepada orang yang berada di sekitarnya.
“Pengguna rokok elektronik atau vape juga boleh membahayakan orang di sekeliling berdasarkan kajian terkini yang dijalankan di peringkat antarabangsa.
“Perokok dan pengguna vape diseru berhenti merokok mengikut kaedah rawatan yang diiktiraf oleh KKM. Pendaftaran ke perkhidmatan berhenti merokok mQuit boleh dibuat melalui laman sesawang www.jomquit.com,” katanya dalam satu hantaran media sosial, hari ini.
Dalam hantaran sama, KKM memaklumkan bahawa satu Operasi Penguatkuasaan Peraturan–Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 iaitu Op Tempat Makan telah dijalankan melibatkan seramai 72 Pegawai Diberi Kuasa (PDK) daripada Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, Pejabat Kesihatan Daerah Sepang, Sektor Kawalan Tembakau, Bahagian Kawalan Penyakit dan Sektor Inspektorat dan Perundangan, Bahagian Perkembangan Kesihatan Awam KKM.
Menurutnya, operasi dari 5 hingga 6 Mac itu menyasarkan kawasan larangan seperti tempat makan, kompleks beli-belah, hentian pengangkutan awam, lapangan terbang dan stesen minyak.
Bagaimanapun, menurut KKM, fokus utama adalah kepada premis makan yang menerima paling banyak aduan.
“Sebanyak 214 notis kesalahan dengan nilai sebanyak RM54,050 di bawah Seksyen 32B, Akta Makanan 1983 telah dikeluarkan melibatkan Kesalahan di bawah Peraturan 11.
“Sebanyak 110 notis di tempat makan (Peraturan 11(1)(d)); 48 notis di dalam kawasan kompleks membeli belah (Peraturan 11(1)(n)) dan 20 notis di dalam kawasan lapangan terbang (Peraturan 11(1)(g)),” katanya.
Menurut KKM lagi, bagi kesalahan di bawah Peraturan 12 kepada pemilik premis, sebanyak 20 notif Peraturan 12(1)(a) kerana gagal mempamerkan tanda larangan merokok di premis; lima notis Peraturan 12(1)(b) kerana gagal memastikan tiada orang merokok di premis masing-masing, telah dikeluarkan.
“Dua notis lagi keluarkan masing-masing membabitkan kesalahan di bawah Peraturan 13(1) iaitu kesalahan merokok oleh orang belum dewasa dan kesalahan di bawah Peraturan 14(1) iaitu tidak mempamerkan tanda larangan menjual hasil tembakau kepada orang belum dewasa,” katanya. – UTUSAN