TAWAU: Penggunaan teknologi maklumat dalam pengajaran dan pembelajaran (P&P) di sekolah merupakan peluang yang besar dalam meningkatkan kualiti pembelajaran dan kecemerlangan para pelajar.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, penggunaan aplikasi dan perisian seperti microsoft powerpoint, flash atau video mampu menjadikan proses seharian P&P lebih mudah, padat dan berkesan kerana persembahan yang menarik serta gambaran yang mudah difahami.
Titah baginda, pendekatan pengaplikasian teknologi maklumat seperti itu akan membuatkan pelajar lebih bersemangat dan berminat untuk belajar.
“Pengajaran dan pembelajaran menggunakan teknologi secara tidak langsung membantu murid-murid mempelajari kemahiran yang sangat penting di era digital ini. Pendedahan ini juga mampu meningkatkan kemahiran komunikasi para pelajar, kemahiran digital, dan kemahiran berkolaborasi,” titah baginda.
Demikian titah Tuanku Syed Faizuddin ketika berkenan berangkat merasmikan Program Titian Kasih Mega 2024 peringkat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Balung di sini anjuran Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Daerah Tawau.
Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Ketua Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah Tawau, Mat Noor Haji Sima dan Pengetua SMK Balung, Arbin Setta.
Turut terlibat sama adalah penyelaras Program Titian Kasih, Jumariah Samsuddin dan Penyelaras Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, Mejar Muhamad Azuan Mohamad Nasir.
Untuk rekod, SMK Balung berjaya mencapai beberapa kejayaan yang membanggakan di peringkat kebangsaan dan negeri pada tahun 2023 termasuklah menjadi johan peringkat negeri bagi Pertandingan Bahas Ala Parlimen Bahasa Melayu Sekolah Menengah 2023 dan Johan Karnival Kadet Remaja Sekolah peringkat negeri.
Antara kejayaan lain, sekolah berkenaan merangkul tempat keenam peringkat kebangsaan bagi Pertandingan Bahas Ala Parlimen Bahasa Melayu Sekolah Menengah 2023 dan Anugerah Perak dalam Young Innovators Challenge Chumbaka peringkat kebangsaan 2023.
Seramai 656 orang pelajar tingkatan satu hingga tingkatan tiga terlibat dan menghadiri sesi motivasi yang disampaikan oleh para penceramah yang dibawa khas dari Perlis iaitu Mustaffa Ibrahim, Tengku Yusoff Tengku Ahmad, Mohd. Nazim Mohd Noor dan Zaharin Haris.
Tuanku Syed Faizuddin turut berkenan menyempurnakan perasmian penamaan bangunan Sharifah Farah Adriana dan Pusat Sumber Syed Sirajuddin Areeb Putra di sekolah berkenaan yang fungsinya akan dimanfaatkan dalam P&P para pelajar sekolah ini.
SMK Balung turut menerima sumbangan satu unit televisyen, pembinaan ruang TV PPS, penyaman udara dan 16 meja guru.
Sumbangan tersebut diserahkan beberapa syarikat swasta dan korporat seperti PMA Rich (M) Sdn. Bhd., Kasyaf Bina Sdn. Bhd., Walta Group Penang dan Econmas Sdn. Bhd.-UTUSAN