KUALA LUMPUR: Aktiviti seni dan sastera tidak sepatutnya berada dalam kepompong minat golongan tertentu sahaja tetapi perlu digerakkan untuk menyantuni semua golongan masyarakat.
Ahli Dewan Negara, Datuk Seri Profesor Emeritus Dr. Awang Sariyan berkata, melalui usaha itu, setiap urat nadi getir payah kehidupan masyarakat dapat dituangkan dalam hasil karya sama ada puisi, novel, cerpen, skrip drama dan sebagainya.
“Saya mengucapkan syabas dan tahniah setinggi-tingginya kepada PEMUISI kerana menggerakkan persatuan ini bukan sekadar persatuan yang aktif dalam bidang puisi dan sastera sahaja, tetapi bergerak cergas dalam kalangan masyarakat,” katanya ketika merasmikan Majlis Iftar dan Baca Puisi Ramadan anjuran Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (PEMUISI) di Rumah Titian Kaseh (RTK), Taman Tasik Titiwangsa dekat sini pada Jumaat.
Awang Sariyan yang juga Penasihat PEMUISI turut menyeru persatuan-persatuan lain agar mencontohi PEMUISI dan bergerak aktif bagi menjadikan gerakan masyarakat ini sebagai satu program yang terancang sepanjang tahun.
Sementara itu, Presiden PEMUISI Datuk Dr. Radzuan Ibrahim berkata, Kerabat Pemuisi Remaja yang dilancarkan oleh Awang Sariyan pada majlis serupa di RTK tahun lalu sedang berkembang dengan pesatnya.
“PEMUISI sedang merancang pelbagai aktiviti untuk mereka bagi memeriahkan Rumah Titian Kaseh dengan aktiviti kesenian dan kesusasteraan agar anak-anak yang membesar di rumah angkat PEMUISI ini akan menjadi manusia berjaya suatu hari nanti,” katanya.
Selain Awang Sariyan, sebanyak 30 ahli PEMUISI dan anak-anak RTK telah menyampaikan puisi, lagu puisi dan syair pada majlis tersebut.
Antara mereka termasuk Radzuan, Amiruddin Ali, Dr. Zainatul Shuhaida Abdull Rahman, Datuk Wan Aziz Wan Hamzah, Marzelan Perindu Seni, Drs. Sundarappandian a/l Velusany, Harlym Yeo, Datin Mayya Humairah, Shiela Nabila, Abdullah Mazlan, Diani Kasian, Harlym Yeo, Datin Azizah, Azmi Swa TV, Letfee Ahmad serta Imam Masjid Wilayah Persekutuan, Datuk Tuan Asmawi Tuan Umar. – UTUSAN