PETALING JAYA: Pemimpin dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pelbagai agama menyokong tuntutan Reformasi 100 peratus Gabungan Pilihan Raya dan Bersih (Bersih).
Penyelarasnya, Ir. Mohd. Jamaludin Mohamed Shamsudin berkata, pihaknya khuatir tentang kesediaan kerajaan untuk melaksanakan janji pilihan raya khususnya dalam melunaskan agenda reformasi yang baik untuk negara.
Katanya, negara kini memerlukan pelaksanaan agenda reformasi agar isu penting seperti tata kelola yang baik, agenda menghapuskan rasuah, serta kerajaan yang bersih dapat ditangani sebaiknya.
“Maka, hari ini kami sebulat suara mewakili organisasi Perikatan Gabungan Badan-badan Bukan Kerajaan Islam Malaysia (ACCIN), Malaysia Gurdwara Council (MGC), Young Buddhist Association of Malaysia (YBAM) dan lain-lain mendukung tuntutan Reformasi 100 peratus yang selari dengan Deklarasi Pemimpin Agama dan NGO Agama sempena Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
“Ia bagi memastikan negara kita menuju ke haluan yang tepat untuk membina sebuah sistem tata kelola yang baik,” katanya dalam kenyataan.
Februari lepas, Bersih menganjurkan perhimpunan #Reformasi100Peratus bagi menuntut Reformasi 100 peratus dijanjikan antaranya menolak keputusan dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) dan rasuah.
Mengulas lanjut, Mohd. Jamaludin berkata, pemimpin dan NGO pelbagai agama melihat perjuangan Reformasi 100 peratus itu tepat pada masanya dan perlu dilakukan yang bukan hanya memanfaatkan masyarakat hari ini, tetapi juga generasi akan datang.
“Kami akur bahawa untuk melaksanakan perubahan dan pembaharuan adalah satu usaha murni yang amat mencabar dan akan menghadapi tentangan dari saki baki kleptokrasi. Namun, usaha gigih ke arah Reformasi 100 peratus harus dipertahankan dan dipercepatkan.
“Justeru, kami ingin tegaskan bahawa pihak Kerajaan Perpaduan harus mengambil serius tuntutan Reformasi 100 peratus ini serta mengambil tanggungjawab untuk melaksanakannya demi kebaikan negara,” katanya. – UTUSAN