KUALA LUMPUR: Selepas lapan minggu berentap, Tilmiz Amnan dinobatkan sebagai juara Akademi Qurra’ musim kedua yang disiarkan di TV AlHijrah.
Kemenangan itu melayakkan anak jati Melaka itu membawa pulang hadiah wang tunai RM25,000 dan trofi kemenangan.
Sementara itu, Tilmizah Syahira dinobatkan sebagai tempat kedua serta pemenang Alunan Terindah melayakkannya membawa pulang wang tunai RM10,500.
Manakala tempat ketiga disandang oleh Tilmizah Sofea dengan wang tunai berjumlah RM5,000 dan trofi.
Selesa di tempat saguhati ialah Tilmizah Sholihah dan Tilmiz Luqman membawa pulang wang tunai RM1,000 setiap seorang.
Amnan berkata, perjuangan di Akademi Qurra’ merupakan usahanya mempelajari ilmu taranum dan menyampaikan dakwah.
“Saya tidak menjangkakan kemenangan ini kerana saingan dengan peserta yang lain sangat sengit.
“Sepanjang lapan minggu ini saya kerap tidak sihat sehingga menggangu prestasi.
“Pada malam ini pun saya ada buat kesilapan, namun mungkin sudah rezeki.
“Niat saya sertai Akademi Qurra’ pun untuk belajar dan menjadi sebahagian dari usaha dakwah,” katanya.
Amnan ditemui Utusan Malaysia di majlis sidang media sejurus acara pentas akhir Akademi Qurra’ 2024, di TV AlHijrah, semalam.
Amnan yang juga merupakan pelajar di Universiti Teknologi Mara Sarawak (UITM) akan menggunakan wang kemenangan sebaiknya.
“Kalau nak kata kumpul duit kahwin pun saya masih muda.
“Alhamdulillah, ini mungkin rezeki Allah nak bagi. Saya akan guna duit untuk perbelanjaan harian,” katanya berseloroh.
Dihoskan oleh Raqib Majid, Akademi Qurra 2024 turut menampilkan Mudarris Ammar Mukhlis, Mudarrisah Suhailah Zulkifly dan Mudarrisah Nadia Hashim yang bertindak selaku tenaga pengajar.
Program yang ditayangkan pada setiap Sabtu pukul 9 malam itu menampilkan juri tetap Ustazah Sharifah Khasif Fadzillah Syed Mohd Badiuzzaman dan dibantu oleh Ustaz Muhammad Qayyim Nizar Sarim serta juri jemputan, Erma Fatima.