MINDEF hargai kakitangan cemerlang

MINDEF hargai kakitangan cemerlang

Mohamed Khaled Nordin bersama para penerima anugerah sempena Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Kementerian Pertahanan 2023, di Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kelangsungan sesebuah organisasi bergantung kepada kecekapan anggota yang berkhidmat di bawahnya.

Menyedari perkara itu, Kementerian Pertahanan (MINDEF) mengambil langkah menganjurkan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang bagi mengiktiraf warga kerja di bawah kementerian itu dan juga Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menurut Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin, majlis seperti ini sangat penting bagi menyerlahkan sumbangan dan kecemerlangan kepada para penerima, malah ia juga adalah cerminan bahawa MINDEF dan ATM adalah entiti yang berpaksikan kecemerlangan dan prestasi tinggi.

“Kita mesti sedar bahawa, kelangsungan sesebuah organisasi sangat bergantung kepada kecekapan anggota dan warga yang berkhidmat di bawahnya. Warga perkhidmatan adalah nadi yang memastikan mutu serta kualiti perkhidmatan berada pada tahap yang membanggakan.

“Kesemua ini akan akhirnya menjadi imej kita semua sebagai sebuah Kementerian,” katanya ketika berucap pada majlis itu, semalam.

Turut hadir dalam majlis tersebut, Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari.

Mohamed Khaled dalam masa yang sama turut menegaskan terdapat tiga perkara utama perlu menjadi asas sebagai teras dalam budaya kerja di Kementerian Pertahanan dan ATM.

“Kalau kita perhalusi enam prinsip serta nilai unggul yang menjadi tonggak Malaysia MADANI, semua itu akhirnya menjurus kepada satu perkara. Iaitu kecemerlangan dan kecekapan.

“Ini kerana, apabila kita mengamalkan budaya kerja yang berteraskan kemapanan, daya cipta dan kesejahteraan, kita akan akhirnya akan terdorong untuk memberikan yang terbaik. Dan apabila kita sentiasa memberikan yang terbaik, maka kecemerlangan akan terhasil,” ujarnya.

Dalam masa yang sama, pihaknya juga akan sentiasa memperkasa kementerian melalui teknologi dan pendigitalan bagi mengekalkan kecemerlangan dalam kementerian dan ATM.

Katanya, meskipun ia menelan kos yang tinggi, ia bukan alasan untuk tidak membuat perubahan secara strategik dan serius.

“Dengan teknologi dan pendigitalan, kita bukan sahaja dapat memastikan penggunaan sumber menjadi cermat dan produktif. Tetapi teknologi dan pendigitalan akan mampu mencegah dan mengurangkan ketirisan serta penyelewengan.

“Sebab itulah semasa program Kick Off Kajian Separuh Penggal Kertas Putih Pertahanan baru-baru ini, adaptasi dan penggunaan teknologi seperti AI dan big data telah saya jadikan sebagai salah satu fokus kita,” katanya lagi.

Untuk rekod, peruntukan MINDEF tahun ini meningkat daripada RM17.731 bilion (RM11.4 bilion) belanja mengurus (OE) dan RM6.31 belanja pembangunan (DE)) pada tahun lalu, kepada RM19.731 bilion (RM12.678 bilion) belanja mengurus dan RM7.053 bilion belanja pembangunan pada tahun ini.

Peruntukan itu jelas Mohamed Khaled lagi, sekali gus menjadikan MINDEF antara lima kementerian utama yang menerima peruntukan terbesar.

“Peningkatan sebanyak 10.13 peratus ini menunjukkan kepercayaan dan keyakinan kerajaan kepada keupayaan kita menguruskan perbelanjaan yang diberikan dengan baik. Jadi, saya merakamkan setinggi tahniah dan syabas kepada semua pihak.

“Saya yakin, tanpa sokongan dan dedikasi daripada semua unit dan bahagian di bawah kementerian ini, kita tidak akan berupaya untuk merekodkan prestasi yang membanggakan. Namun, kita tidak boleh berasa selesa. Segala keyakinan dan sokongan Kerajaan ini mesti kita terjemahkan ke dalam bentuk prestasi yang lebih cemerlang pada tahun ini,” ujarnya.

Sementara itu, salah seorang penerima anugerah, Lt Kol Mohd. Nasri Abu daripada Jabatan Arah Gerakhas Markas Tentera Darat berkata, penganugerahan kali ini istimewa berbanding sebelum ini kerana melibatkan banyak pihak, sekali gus ia turut menjadi batu loncatan kepada pegawai lain untuk terus berkhidmat lebih baik pada masa akan datang.

“Setiap tugas itu adalah amanah yang dipikul, kita harus laksanakan dengan ikhlas dan ia dikira sebagai sebuah perjuangan. Saya tidak pernah sasarkan setiap tugas yang saya jalankan untuk mendapat sebarang anugerah, namun ia boleh dinilai oleh pemimpin kita dengan hasil kerja yang kita lakukan. Setiap penilaian yang dibuat itu sangat teliti dengan mengambil kira pencapaian dan tatatertib kita sebagai seorang anggota,” katanya ketika ditemui.

Bagi Nor Ezreen Ezry Mohd. Nor pula, beliau teruja menerima anugerah buat kali pertama, sekali gus menyatakan anugerah seperti ini sudah pasti menjadi pemangkin semangat untuk dirinya dan kakitangan lain supaya berkhidmat dengan lebih baik.

“Saya berkhidmat dari 2009, ini bermakna saya sudah berkhidmat selama 15 tahun, hari ini saya rasa terharu dan bangga atas pencapaian yang diberikan. Terima kasih kepada ketua memberi kepercayaan kepada saya untuk berkhidmat sebagai Setiausaha Pejabat, Pejabat Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) kementerian, anugerah ini membuatkan kita semua lebih bersemangat pada masa akan datang,” katanya.

Bagi Zainuddin Hussin daripada Unit Integriti, MINDEF yang turut diberi pengiktirafan setelah berkhidmat selama 32 tahun dalam perkhidmatan kerajaan, beliau rasa bersyukur dengan anugerah yang diterima dan menjelaskan sistem yang digunakan kementerian hari ini mempunyai perkembangan positif dan lebih telus berhadapan dengan masyarakat.

“Saya diletakkan sebagai Ketua Unit Integriti MINDEF selama lima tahun, kementerian ini telah menjadi perintis dalam melaksanakan sistem pemantauan yang berkesan, saya berharap anugerah seperti ini turut menjadi pembakar semangat kepada kakitangan yang lain,” ujarnya.

Seorang lagi penerima anugerah, Hairunnisa Khalid daripada Maktab Tentera Diraja Kem Sungai Besi turut berkata, setiap tugas yang dijalankan selama ini penuh komited, namun tidak menyangka dipilih kali ini untuk menerima anugerah khidmat cemerlang buat kali ketiga dan menerima pingat buat kali pertama.

“Saya benar-benar rasa terharu dengan penganugerahan yang diberikan, ini kali pertama saya menerima pingat, saya berharap ia menjadi pembakar semangat kepada pegawai lain juga untuk berkhidmat dengan lebih baik dan ikhlaslah dalam setiap tugas yang diberikan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN