PUTRAJAYA: Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan (JMWP) membayangkan kemungkinan besar Menara Merdeka 118 bakal menjadi lokasi pencerapan hilal baharu di ibu negara.
Menurut Timbalan Muftinya, Jamali Mohd. Adnan, bangunan kedua tinggi di dunia selepas Burj Khalifa di Dubai itu akan menggantikan stesen sedia ada di Menara Kuala Lumpur.
“Siri kajian sedang dibuat dan mungkin pada masa depan, Merdeka 118 jadi lokasi baharu cerap anak bulan untuk ibu kota,” kata beliau pada sesi soal jawab bersama media di sini, malam tadi
Program disertai Muftinya, Prof. Madya Datuk Dr. Luqman Abdullah itu bersempena Jubli Emas JMWP yang sebelum ini lebih dikenali sebagai Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.
Menara Kuala Lumpur di Bukit Nanas menjadi lokasi pencerapan hilal setelah dipersetujui Majlis Raja-Raja pada 2010 bagi menggantikan Bukit Besi di Cheras sejak 1970-an lalu.
Walau bagaimanapun, dek tinjau cerap di struktur telekomunikasi yang berketinggian 421 meter itu dikatakan banyak dihalang pencakar langit baharu di sekitar pusat bandar raya.
Situasi itu dibimbangi boleh menjejaskan pencerapan ke arah ufuk barat setiap kali hujung bulan Hijri dan ini mencetuskan idea untuk beralih kepada Merdeka 118 yang lebih tinggi.
Kebetulan bangunan setinggi 679 meter itu memang dilengkapi kemudahan ruang balai cerap tersendiri di ketinggian 566 meter yang dibina pemajunya, PNB Merdeka Ventures.
Mengulas lanjut, Jamali berkata, pihak JMWP akan menilai dari pelbagai sudut termasuk nasihat Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem) sebelum boleh dimuktamadkan.
“Kita akan lihat dari aspek kesesuaian praktikal dan darjah ketepatan ketika proses cerap sebelum cadangan ini dibawa untuk pertimbangan oleh pihak Majlis Raja-Raja,” jelasnya.
Menyentuh stesen pencerapan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), beliau tidak menolak kemungkinan lokasi itu perlu dipindahkan ke tapak lain lebih bersesuaian susulan ada banyak pencakar langit di Presint 3 dan 4 yang menempatkan beberapa kementerian sehingga mengakibatkan proses pencerapan imej anak bulan boleh terlindung.
Setakat ini ujarnya, JMWP masih mencari lokasi baharu dan tapak paling sesuai pula ialah sebuah bukit di Dengkil namun tidak diterima kerana kedudukannya di sebelah Selangor.
Ditanya perkembangan balai cerap baharu di Labuan, Jamali memaklumkan premis yang akan dikenali dengan namanya Darul Ifta’ itu dijangka siap dalam tempoh lima tahun lagi.
Ia ekoran cadangan sebelumnya di Kampung Kiansam yang ditawarkan oleh Perbadanan Labuan ada sedikit isu terutama saiz keluasannya hanya dua hektar disifatkan amat kecil.
“Insya-Allah, proses pembelian tapak milik persendirian itu tengah berlangsung dan lokasi di Pancor Hitam ini akan ganti stesen cerapan sedia ada di Menara UMS,” tambahnya. – UTUSAN