Mangsa melecur meninggal dunia selepas enam hari bertarung nyawa - Utusan Malaysia

Mangsa melecur meninggal dunia selepas enam hari bertarung nyawa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Selepas enam hari bertarung nyawa, seorang wanita yang parah akibat melecur dalam kebakaran dua kenderaan bersama kekasihnya di Taman Utama, Bercham minggu lalu, meninggal dunia semalam.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, mangsa berusia 57 tahun yang melecur 70 peratus di bahagian badan menghembuskan nafas terakhir pada pukul 9.48 malam.

Katanya, mangsa meninggal dunia ketika dalam rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

“Wanita itu dan teman lelakinya berusia 64 tahun sebelum ini telah dimasukkan ke HRPB selepas mengalami lecur teruk dan tidak sedarkan diri.

“Mangsa lelaki yang melecur 90 peratus bagaimanapun telah meninggal dunia sehari selepas kejadian manakala teman wanitanya pula dilaporkan meninggal dunia semalam,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, semua pihak diminta tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kes tersebut dan memberi ruang kepada polis melakukan siasatan secara menyeluruh.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan Jenayah IPD Ipoh, Asisten Superintenden Fadli Ahmad di talian 019-2500019 bagi membantu siasatan,” katanya.

Media pada 28 Februari lalu melaporkan, sepasang kekasih ditemui melecur teruk dalam kebakaran pada pukul 10.18 pagi melibatkan kereta jenis Perodua Alza dan motosikal jenis Honda C70.

Kedua-dua mangsa ditemui terbaring di tepi kereta dipercayai telah dibawa keluar oleh orang awam.

Polis mengklasifikasikan kes tersebut di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan membunuh apabila saksi terdengar pertengkaran antara kedua-dua mangsa sebelum kejadian. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya