PETALING JAYA: Majlis Ekonomi Bumiputera (MEB) dipertanggungjawabkan untuk memantau dapatan daripada Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kongres yang berlangsung tiga hari itu menghasilkan hampir 70 resolusi untuk memartabatkan agenda sosioekonomi bumiputera.
Kata beliau, ia diambil melalui pendekatan ‘bottom-up’ dalam Sesi Libat Urus (SLU) yang diadakan sejak Disember tahun lalu terdiri daripada 10 kluster-kluster berkait rapat dengan agenda bumiputera.
“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menyatakan komitmen dapatan kongres ini akan dicerakin untuk diterjemahkan ke dalam hala tuju Agenda Baharu Pemerkasaan Bumiputera dalam masa 10 tahun akan datang.
“Semoga hasil dapatan KEB ini akan terus membawa kepada agenda pelaksanaan yang dipantau oleh MEB bagi memacu ekonomi negara kita ke arah yang lebih mampan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
KEB yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) bermula sejak Khamis lalu dan berakhir semalam.
Antara inisiatif-inisiatif baharu yang diumumkan oleh Perdana Menteri bagi memperkasa bumiputera adalah melahirkan generasi baharu usahawan bumiputera, Tabung Wakaf Mara Madani dan potongan cukai bagi wakaf berasaskan saham.
Selain itu, pembiayaan kredit mikro, Suruhanjaya Pekerja Gig, memperkasa program latihan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), memanfaatkan dan membangunkan tanah rizab Melayu serta memartabat hasil seni pengusaha bumiputera. – UTUSAN