SEAKAN sudah menjadi ‘tradisi’, jika ada persembahan atau pertandingan melibatkan dua nama ini, pasti ada perbandingan yang akhirnya mencetuskan perdebatan dalam kalangan peminat di media sosial.
Entah kenapa, persahabatan murni dua penyanyi, Ernie Zakri dan Aina Abdul ‘dicemari’ dengan provokasi sekelompok haters yang mengaku sebagai peminat. Ada sahaja yang tidak kena, dibanding-bandingkan.
Tidak cukup Ernie, Aina juga sebelum ini pernah menjadi mangsa provokasi apabila ada kelompok yang cuba mencetuskan ketegangan dengan melabel dia sebagai penyanyi nombor satu walaupun hakikatnya, masih jauh perjalanan itu.
Secara tidak langsung, nama suri hati Malaysia, Datuk Seri Siti Nurhaliza yang disebut penyanyi nombor satu negara turut terkait dengan provokasi yang cuba dicetus. Jawablah mendapatkan pandangan Aina.
Bagaimana dia melihat provokasi tersebut? Tidakkah ia mampu merosakkan hubungan baik atau mewujudkan ketidakselesaan dalam persahabatan dia dengan artis lain? Aina, Jawablah!
Baru-baru ini, sekali lagi nama Aina Abdul menjadi perdebatan usai Anugerah Juara Lagu ke-38. Ada yang cakap trofi vokal terbaik itu sepatutnya menjadi milik orang lain walaupun hakikatnya, Aina selayaknya meraih kejayaan itu. Bagaimana Aina melihat provokasi tersebut?
Sejujurnya, saya macam tidak dapat lari daripada kontroversi sebegitu. Kadang-kadang, kegembiraan saya meraih kejayaan itu tidak bertahan lama. Saya tidak seharusnya terkesan bukan?
Tetapi saya ini manusia biasa. Bila dibandingkan, saya paksa diri untuk ingat momen gembira di atas pentas.
Dibandingkan pula dengan sahabat saya sendiri. Ernie membuat persembahan yang cukup hebat. Kemenangan itu tidak bermaksud vokal saya lebih baik atau lebih bagus daripada penyanyi lain. Rezeki dan usaha saya kan. Ernie juga hebat. Saya sendiri kagumi kemampuan dan vokal dia.
Adakah kontroversi atau provokasi seperti itu sedikit sebanyak ‘mencemarkan’ hubungan baik antara kalian berdua? Sementelah kita tahu, kalian memang bersahabat baik?
Kami cuba untuk tidak bercakap tentang perbandingan, perbalahan peminat antara satu sama lain. Saya sangat sayang dia sebagai seorang sahabat. Sejujurnya, saya bangga dengan pencapaian dia.
Saya tahu kerja keras, usaha dia selama berada dalam industri seni. Semangat dia. Jadi, kami menggembirakan hati dengan memberi yang terbaik. Saya tahu Ernie juga sebegitu, semangat dia luar biasa.
Penat tak dengan situasi kurang menyenangkan ini? Macam tak habis-habis isu tersebut?
Mestilah penat, saya manusia biasa. Kami (penggiat seni) cuba mewujudkan ekosistem yang menyeronokkan. Ideologi dua penyanyi wanita perlu ‘bersaing’ itu tidak seharusnya wujud pun. Kami bantah ideologi itu.
Kami berdua mahu buat persembahan yang terbaik. Kami cuba membawa positiviti dalam kehidupan, kerjaya dan kerja seni kami. Mulut-mulut di luar sana tidak mencerminkan semangat kami.
Bagaimana Aina melihat lemparan provokasi tentang kemenangan Aina tempoh hari?
Bagi saya secara peribadi, peminat boleh marah, boleh bandingkan tetapi saya tidak boleh buat apa-apa. Dalam pertandingan, kami semua perlu fokus untuk beri yang terbaik terhadap karya yang dipersembahkan.
Saya ada tanggungjawab dan apabila diberi kemenangan tidak bermaksud saya lebih hebat daripada semua orang, Tidak, ini soal rezeki. Menjadi penghibur, manisnya bila kita terima penghargaan itu.
Tetapi kurang manis apabila wujud perbandingan, pendapat negatif. Saya tidak boleh hentikan itu, masing-masing berhak menyatakan pandangan sendiri. Saya tak ada kuasa untuk suruh mereka hentikan.
Saya juga bukan jenis yang lantang bersuara. Saya cuma memperjuangkan karya dan bakat saya. Tak mahu buang masa. Semua ini juga satu pinjaman, saya perlu sehabis baik memperjuangkannya.
Kesihatan mental Aina pula bagaimana apbila berhadapan isu sebegini?
Saya tak mahu wujudkan perasaan tidak seronok itu. Saya tidak mahu ada perasaan sangsi dalam diri.
Sebab itu, saya akan sentiasa ingatkan diri untuk kuat semangat, fikirkan hal-hal yang menggembirakan.
Saya kena ajar diri untuk fikir perkara positif. Tidak mahu terbeban dengan pendapat segelintir pihak yang mungkin berunsur negatif. Apatah lagi melibatkan hubungan saya dengan penyanyi lain.