KUALA LUMPUR: Program Kongsi Berkat Bubur Lambuk anjuran Mahsuri Dagang Sdn. Bhd. dan Media Mulia Sdn. Bhd. disemarakkan lagi dan kali ini syarikat pengeluar sos itu memilih Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Semarak di sini untuk memberi sumbangan bubur lambuk.
Sempena program itu yang diadakan di Surau Jumaat Al-Husna Seri Semarak di sini, semalam, sebanyak 1,000 pek bubur lambuk telah diedarkan kepada penduduk di kawasan berkenaan.
Pengarah Mahsuri Dagang, Datuk Mohd. Roslan Mahayudin berkata, program tersebut merupakan salah satu daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dilaksanakan oleh syarikat untuk menyantuni masyarakat.
Menurutnya, program yang dijalankan itu juga bertujuan memberi jaminan kepada pengguna bahawa produk keluaran Mahsuri Dagang adalah halal dan berkualiti tinggi.
“Salah satu sebab program bubur lambuk ini diadakan kerana kita mahu semua pengguna sedia maklum produk Mahsuri adalah halal, terjamin dari segi kebersihan dan berbeza daripada yang lain.
“Istimewanya produk Mahsuri adalah kita menggunakan bahan asli. Sos tiram yang dihasilkan menggunakan ekstrak tiram sebenar manakala sos kicap manis pula menggunakan kacang soya yang diimport khas dari Amerika Syarikat,” jelasnya.
Bermula dengan kerja menyediakan bahan dan memasak bubur lambuk kira-kira pukul 8 pagi, bubur tersebut mula diedarkan kepada orang ramai pada pukul 5 petang.
Mahsuri Dagang sebelum ini melaksanakan program sama di Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di Putrajaya.
Sementara itu, ketua tukang masak, Fatihi Ahmad yang mempunyai pengalaman memasak bubur lambuk selama 30 tahun berkata, penyediaan untuk menghasilkan bubur lambuk itu dijalankan secara rewang dengan melibatkan kira-kira 10 peserta.
Katanya, pengagihan bubur lambuk menerusi program tersebut sangat membantu penduduk di sini selain meringankan beban mereka yang tidak berkemampuan untuk menyediakan juadah berbuka puasa.
“Bubur lambuk kali ini dihidangkan dengan rasa yang berbeza, disertai dengan ramuan istimewa seperti udang kering dan menggunakan bahan-bahan daripada produk Mahsuri.
“Untuk anjuran kali ini, dua buah kawah digunakan untuk menyediakan bubur lambuk berperisa ayam dan daging. Hal ini supaya penduduk setempat yang bukan beragama Islam juga dapat merasai kenikmatan sajian ini,” katanya.
Dalam pada itu, Pengerusi Surau Jumaat Al-Husna Seri Semarak, Mahat Yunus berkata, pihaknya teruja dan berbangga kerana dapat bekerjasama dengan Mahsuri dan Media Mulia untuk menaja bubur lambuk sempena bulan Ramadan.
Katanya, kerjasama yang dijalinkan menerusi program ini akan terus berkekalan dan memberi impak positif kepada masyarakat setempat khususnya golongan yang memerlukan.
“Program ini secara tidak langsung mengeratkan silaturahim antara penduduk setempat kerana mereka sama-sama turun padang memberi sokongan dan bantuan dalam merealisasikan aktiviti kemasyarakatan ini.
“Proses memasak bubur lambuk selesai kira-kira pukul 11 pagi. Selepas itu barulah kita mula membungkus sebelum diagihkan kepada penduduk PPR Semarak dan berdekatan.
“Agihan juga akan dilaksanakan dari rumah ke rumah khususnya untuk golongan yang kurang berkemampuan seperti warga emas, ibu tunggal dan Orang Kurang Upaya (OKU),” katanya. – UTUSAN