Mahsuri Dagang santuni pelajar UPM

Mahsuri Dagang santuni pelajar UPM

Pengarah Urusan Media Mulia Sdn Bhd, Mohamad Azlan Jaafar (lima kiri) diiringi oleh Chef Johar Iederus (tengah); Naib Canselor UPM, Prof. Datuk Dr. Ahmad Farhan Mohd. Sadullah (depan, empat kanan) dan Dekan Fakulti, Prof. Dr. Hazlina Abdul Halim (depan, tiga kanan) beramah mesra semasa memasak bubur lambuk pada Program Kongsi Berkat Bubur Lambuk anjuran Media Mulia Sdn. Bhd. dan Mahsuri Dagang di Universiti Putra Malaysia (UPM), kelmarin. – UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SERDANG: Mahsuri Dagang dengan kolaborasi bersama Media Mulia Sdn Bhd (MMSB) menaja Program Kongsi Berkat Bubur Lambuk anjuran Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK), Universiti Putra Malaysia (UPM) melibatkan agihan lebih 1,000 pek bubur lambuk kepada orang ramai terutama pelajar sekitar UPM, kelmarin.

Pengarah Mahsuri Dagang, Datuk Roslan Mahayudin berkata, program itu merupakan antara satu tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi syarikatnya selain untuk memperkenalkan produk keluarannya kepada masyarakat setempat.

Katanya, bagi program kali ini, tumpuan diberikan kepada golongan pelajar khususnya di kampus-kampus universiti.

“Selain untuk memperkenalkan produk Mahsuri, ia juga bertujuan mendekati masyarakat. Kita juga ingin menemui pelanggan-pelanggan baharu.

“Hari ini mungkin masak dan edar bubur lambuk pada pelajar, hari lain mungkin berbeza namun objektif tetap sama,” katanya ketika ditemui pada program itu kelmarin.

Wakil kakitangan Media Mulia Sdn. Bhd. dan Universiti Putra Malaysia turut membantu menyampaikan agihan bubur lambuk kepada pelajar dan kakitangan UPM semasa Program Kongsi Berkat Bubur Lambuk di Serdang. – utusan/AMIR KHALID

Pada Ramadan tahun lepas, Mahsuri dengan kerjasama MMSB melaksanakan Bazar Attack bagi menyantuni orang ramai di beberapa buah lokasi bazar Ramadan, antaranya di Bazar TTDI dan Bazar Stadium Shah Alam.

Mengulas lanjut berkaitan keistimewaan produknya, Roslan berkata, Mahsuri mengeluarkan perisa kicap unik yang belum pernah ada di pasaran.

“Antara keluaran kicap yang berjaya mendapat sambutan hangat daripada orang ramai adalah kicap manis pedas.

“Pihak kami juga akan sentiasa cuba untuk keluarkan produk mengikut cita rasa pasaran semasa,” katanya.

Dalam pada itu, Roslan turut menyeru orang ramai untuk terus memberi sokongan kepada produk Mahsuri kerana ia keluaran bermutu, buatan tempatan dan dijamin halal.

Sementara itu, Mahsuri Dagang dan Media Mulia turut menaja bahan-bahan masakan daripada jenama Mahsuri, sumbangan kepada 20 pelajar asnaf serta 40 anak yatim Baitul Ulfah selain sumbangan untuk pembinaan surau di FBMK UPM.

Ketua Komersial Mahsuri Dagang, Mohd. Jazri Ikmal Hijaz berkata, kolaborasi bersama UPM adalah sebagai bantuan bagi meringankan beban pelajar yang tinggal berjauhan dari keluarga.

“Ini adalah satu program CSR, jadi kebanyakan pelajar ada yang merindui kampung halaman. Jadi bila kita bersama mereka, sedikit sebanyak dapat membantu mereka ringankan beban supaya mereka tidak kesunyian,” ujarnya.

Tambah beliau, tajaan bagi program agihan bubur lambuk juga merupakan satu langkah memberikan pendedahan terhadap penggunaan produk keluarannya.

Katanya, antara bahan masakan yang ditaja pada program tersebut merupakan sos tiram dan sos manis pedas kerana bersesuaian dengan masakan tradisional khususnya orang Melayu.

“Kita mahu mengajak penggunaan kicap seperti dalam bubur lambuk. Jadi apabila guna produk sos tiram kami, hasil itu akan jadi lebih sedap,” katanya.

Dalam pada itu, Naib Canselor UPM, Datuk Prof. Dr. Ahmad Farhan Mohd. Sadullah berkata, pihaknya sentiasa terbuka untuk sebarang bantuan dan tajaan daripada pihak luar terutama melibatkan program komuniti.

Katanya, dengan tajaan yang diterima, pihaknya akan tersedia sebagai platform bagi memastikan para penaja mendapat manfaat yang terbaik.

“Kami mengalu-alukan bukan sahaja bagi makanan tapi juga melibatkan aktiviti pelajar dari segi penaiktarafan fasiliti.

“Kami memang terbuka kepada mana-mana syarikat yang ingin memberi wakaf dan CSR untuk membantu perkara yang penting,” katanya.

Selain itu, Dekan FBMK, Prof. Madya Dr. Hazlina Abdul Halim berkata, tahun ini merupakan anjuran kedua fakulti tersebut di bawah program Putra Cakna.

Katanya, bagaimanapun, anjuran kali ini merupakan kali pertama pihaknya berkolaborasi dengan penaja dari luar.

“Tajaan adalah dari segi ramuan masakan produk Mahsuri, sumbangan bagi tabung surau dan duit raya bagi anak yatim dan pelajar asnaf. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN