Lima sekeluarga dipercayai tergelincir sebelum terjatuh dalam arus deras - Utusan Malaysia

Lima sekeluarga dipercayai tergelincir sebelum terjatuh dalam arus deras

LOKASI kejadian lima sekeluarga tergelincir sebelum terjatuh ke dalam sungai. - IHSAN BOMBA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SERDANG: Dua beranak selamat, seorang ditemukan mati lemas manakala dua lagi masih hilang selepas dihanyutkan arus deras ketika menjala ikan di Saliran Longkang Monsun (Monsoon Drain) di Jalan KP 4/9 Kota Perdana, Seri Kembangan di sini, petang ini.

Mangsa yang selamat ialah Ahmad Suriadi, 40, dan anaknya Mohd. Alif, 9, manakala yang ditemukan serta disahkan meninggal dunia ialah Mohd. Diham, 10.

Dua lagi masih dilaporkan hilang ialah isterinya iaitu Juliana, 38, dan anak bongsu mereka, Riska Amelia, 4.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A. A Anbalagan berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian itu pada pada 4.35 petang membabitkan mangsa daripada satu keluarga warga Indonesia.

Menurutnya, berdasarkan keterangan lelaki itu, mereka sekeluarga ke lokasi itu untuk memancing dan menjala ikan kira-kira pukuk 3.30 petang.

“Pada awalnya, keadaan lokasi cetek selain cuaca yang tidak hujan.

“Tidak lama kemudian berlaku hujan dan air deras menyebabkan mereka yang berdiri di simen longkang itu dipercayai tergelincir sebelum terjatuh di kedalaman air yang deras kira-kira 1.2 meter,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian di sini malam ini.

Beliau berkata, mangsa (bapa) dilaporkan selamat sebelum membuat panggilan kecemasan 999.

Katanya, kira-kira pukuk 5.30 petang, mangsa kedua yang juga anak kedua berusia sembilan tahun ditemukan selamat oleh orang awam.

“Usaha pencarian kemudian menemukan mangsa ketiga iaitu anak sulung keluarga itu berusia 10 tahun di kawasan tebing kira-kira satu kilometer dari lokasi kejadian.

“Pasukan bomba masih giat jalankan operasi mencari dua lagi mangsa yang masih hilang,” katanya.

Tambahnya, siasatan awal mendapati lelaki Indonesia terbabit menetap di Malaysia  kira-kira 10 tahun lalu dengan melakukan kerja-kerja kontrak.

“Mengikut keterangannya (bapa), mereka sekeluarga ke lokasi terbabit dua ke tiga kali untuk menjala ikan di mana hasilnya dijual sebagai sumber pendapatan,” ujarnya.

Terdahulu, media melaporkan kegembiraan lima sekeluarga bertukar tragedi apabila empat daripada mereka dilaporkan hilang dikhuatiri lemas di Sungai Kota Perdana, Serdang.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serdang dan BBP Shah Alam dikejarkan ke lokasi selepas menerima panggilan pada pukul 4.35 petang.— UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya