BUTTERFINGERS, Hujan dan Bunkface – tiga gergasi dalam industri muzik indie tempatan buat pertama kalinya dihimpunkan dalam satu pentas untuk showcase UND3RGROUND sempena ulang tahun ke-15 Hitman Group, 2 Mac lalu.
Gabungan tiga band ini boleh dikatakan menerima sambutan yang baik kerana berjaya menghimpunkan kira-kira 6,000 orang peminat di ruangan Surf Beach, Sunway Lagoon.
Showcase yang berlangsung selama lebih kurang tiga jam itu memuaskan hati kerana ketiga-tiga kugiran tersebut menghidangkan persembahan cukup luar biasa.
Lagu Vio-Pipe, Luka Mana dan Bunk Anthem dimainkan sebagai mukadimah ketika tiga band ini bergabung untuk menyempurnakan persembahan pembukaan. Tidak dinafikan, saat bunyi bagpipe berkumandang di seluruh perkarangan, penonton sudah mula ‘panas’ dan bersedia untuk berhibur.
Tamat sahaja persembahan pembukaan, Bunkface mula menggamatkan keadaan dengan nukilan hits mereka seperti Darah Muda, Ekstravaganza, Revolusi, Situasi dan beberapa lagu baharu.
Seterusnya, kumpulan Hujan pula yang terdiri daripada Noh Salleh, AG Coco, Azham dan Izzat mengubati rindu peminat mereka dengan lagu-lagu yang pernah mengangkat nama band tersebut seperti Lonely Soldier Boy, Kotak Hati dan Mencari Konklusi yang melonjakkan lagi adrenalin para penonton.
Paling dinanti-nantikan, Butterfingers yang dianggotai Loque, Emmett, Loko dan Kadax telah mempersembahkan karya-karya nostalgia mereka seperti Taman Tasik Perdana, Tentang Tentang, Garden City Of Lights dan beberapa buah lagu lain yang membuat Royal Butters mengimbau kembali kenangan ketika usia remaja.
Meskipun usia Emmett atau nama penuhnya, Emmet Roslan Ishak sudah mencecah 46 tahun, jeritannya tetap menjadi igauan indah di telinga peminat muzik grunge tanah air.
Butterfingers kemudian mendendangkan lagu Obsesi yang pada asalnya dinyanyikan oleh Hujan. Kata Loque, lagu ini dinyanyikan istimewa buat Noh tetapi dalam gubahan yang berbeza.
Keterujaan Noh dapat dilihat dengan jelas apabila beliau turut menyertai Butterfingers menyanyikan lagu tersebut.
Lebih mengharukan, sebelum showcase itu tamat, Noh menzahirkan rasa terima kasih dengan ucapan “tanpa Butterfingers, tiadalah Hujan.”