PETALING JAYA: Sebanyak 12 syarikat subsidiari milik Felda, Lembaga Tabung Haji (TH) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengalami kerugian selama tiga tahun berturut-turut sejak 2020.
Perkara itu berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Mengenai Penyata Kewangan Agensi Persekutuan Tahun 2022 yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini.
Menurut laporan itu, sebanyak 12 syarikat subsidiari mengalami kerugian berjumlah RM545.95 juta pada 2022.
“Sebanyak tujuh daripada 12 syarikat subsidiari yang beroperasi di dalam negara mengalami kerugian sejumlah RM418.96 juta manakala baki lima syarikat subsidiari yang beroperasi di luar negara mengalami kerugian berjumlah RM126.99 juta,” katanya.
Syarikat yang terlibat membabitkan tujuh syarikat milik KWSP; empat syarikat milik TH dan satu syarikat milik Felda. – UTUSAN