PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bersedia memberikan kerjasama penuh dalam kes kematian seorang pelajar lelaki dibelasah rakan di sebuah kolej vokasional dekat Lahad Datu, Sabah.
KPM dalam kenyataan memaklumkan, pada masa ini kematian Muhd. Nazmie Aizat Muhd. Narul Azwan masih dalam siasatan pihak berkuasa.
Dalam isu ni, KPM menyeru semua pihak untuk menghormati privasi keluarga mangsa.
“KPM telah mengambil tindakan segera dengan memberi bantuan kebajikan kepada keluarga mangsa.
“Sokongan psikososial turut ditawarkan kepada keluarga, pelajar lain, guru dan seluruh warga kolej,” katanya hari ini.
KPM menzahirkan rasa dukacita dan ucapan takziah kepada mangsa yang meninggal dunia semalam.
KPM pada masa sama menegaskan tidak berkompromi dengan salah laku buli di semua institusi pendidikan bawah kelolaannya.
Semalam, Muhd Nazmie, 17, ditemukan mati dalam bilik asrama dipercayai akibat dibelasah rakan.
Mangsa ditemukan warden asrama yang bertugas pada pukul 6.50 pagi dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Polis, Dr Rohan Shah Ahmad berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian itu daripada pengarah kolej terbabit.
Menurutnya, mangsa ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia oleh petugas kesihatan Hospital Lahad Datu.
“Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat kesan kecederaan dan lebam di beberapa bahagian tubuh mangsa.
“Punca kejadian adalah daripada perselisihan faham antara mangsa dengan penghuni-penghuni asrama yang lain.
“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Lahad Datu bagi tujuan bedah siasat untuk mengenalpasti punca kematian mangsa,” katanya.
Susulan itu, pihak polis setakat ini sudah menahan 13 pelajar lelaki berusia 16 dan 19 tahun dan merampas pengecas telefon pintar.
“Setakat ini, polis mengesan tujuh saksi bebas untuk membantu siasatan dan kes disiasat mengikuti Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya. – UTUSAN