PETALING JAYA: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) mengagih 100 juadah berbuka puasa untuk kakitangan Media Mulia Sdn. Bhd. melalui program Sentuhan Kasih Ramadan KPKT 2024, di sini semalam.
Ketua Komunikasi Korporat KPKT, Elfian Satria Yaacob berkata, sumbangan itu bertujuan menyantuni dan mengeratkan hubungan serta jalinan kerjasama antara kementerian dengan pengamal media dalam menyemarak sambutan bulan Ramadan.
“Terima kasih kepada PR1MA atas kerjasama dalam pelaksanaan program ini. Kami juga berharap program agihan iftar dalam bentuk bungkusan individu ini diteruskan lagi pada tahun-tahun yang akan datang serta diperluas lagi kepada pelbagai agensi media.
“Melalui program ini, kerjasama yang utuh antara kementerian dan agensi media dapat dijalin serta membolehkan proses penyampaian maklumat kepada masyarakat dapat dilaksana dengan mudah dan teratur,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Untuk rekod, agihan juadah itu mula dilaksana pada 2022 dan dikenali sebagai agihan iftar Rahmat Ramadan KPKT.
Sebanyak 1,100 jumlah iftar diagih kepada pengamal media di beberapa agensi melalui Sentuhan Kasih Ramadan KPKT 2024, berbanding 570 pengamal media semasa Rahmat Ramadan KPKT KPKT 2022.
Sebanyak tujuh agensi media menerima manfaat daripada program itu pada tahun ini berbanding lima agensi media pada 2022. –UTUSAN