KPJ Healthcare Berhad, Mayo Clinic terokai kerjasama strategik

KPJ Healthcare Berhad, Mayo Clinic terokai kerjasama strategik

Dr. Stacey Rizza (dua kanan) menyerahkan plak simbolik keahlian Mayo Clinic kepada Ketua Pegawai Eksekutif KPJ Damansara, Sharian Hussain (tiga kiri) pada majlis memeterai kolaborasi strategik antara KPJ Healthcare Berhad dengan Mayo Clinic. – UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia mengorak langkah ke arah sistem sektor penjagaan kesihatan yang berkualiti di negara ini menerusi kerjasama strategik antara KPJ Healthcare Berhad dengan Mayo Clinic, yang dinobatkan hospital terbaik di dunia pada 2023 dari Amerika Syarikat (AS).

Menerusi kerjasama tersebut, KPJ Healthcare melalui dua hospital pakar, Hospital Pakar KPJ Damansara (KPJ DSH) dan Hospital Pakar Damansara 2 (DSH2) melakar detik bersejarah sebagai rangkaian hospital pertama dan satu-satunya di Malaysia yang disenaraikan sebagai ahli Mayo Clinic Care Network.

Keahlian dalam Mayo Clinic Care Network memberikan akses penuh kepada KPJ DSH dan DSH2 untuk memanfaatkan sumber klinikal dan perkhidmatan Mayo Clinic yang berteknologi tinggi, termasuklah penjagaan perubatan dan pembangunan profesional.

Usaha itu jelas menunjukkan komitmen KPJ Healthcare untuk memanfaatkan kepakaran di peringkat global bagi memacu kecemerlangan perubatan dan inovasi penjagaan pesakit, sekali gus menetapkan piawaian baharu dalam landskap sektor penjagaan kesihatan di negara ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, kerjasama itu menjadi pemangkin kepada KPJ Healthcare merintis paradigma baharu dalam penjagaan pesakit, penyelidikan perubatan dan penyampaian penjagaan kesihatan.

“KPJ Healthcare bukan sahaja mempertingkatkan proses sedia ada tetapi melihat penyelesaian baharu untuk menampung keperluan sistem penjagaan ini.

“Usaha antara KPJ Healthcare dan Mayo Clinic ini sekali gus memberi impak positif untuk membentuk pengkongsian awam dan swasta pada masa hadapan,” katanya pada majlis pemeteraian kerjasama strategik di antara KPJ Healthcare dengan Mayo Clinic.

Yang turut hadir, Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation (JCorp), Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim; Pengarah Perubatan Eksekutif Mayo Clinic Bahagian Amalan Antarabangsa dan Asia Pasifik, Dr. Stacey Rizza dan Pengerusi KPJ Healthcare, Datuk Md. Arif Mahmood.

Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare, Chin Keat Chyuan berkata, kerjasama itu jelas menunjukkan komitmen kumpulan tersebut untuk memanfaatkan kepakaran di peringkat global bagi memacu kecemerlangan perubatan dan inovasi penjagaan pesakit, sekali gus menetapkan piawaian baharu dalam landskap sektor penjagaan kesihatan di negara ini.

Katanya, pencapaian itu merupakan satu anjakan besar bagi KPJ Healthcare dalam menerajui kecemerlangan perubatan kerana sentiasa berusaha untuk meneroka pendekatan yang inovatif demi memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada para pesakit.

“KPJ Healthcare berhasrat untuk memanfaatkan pengalaman, sumber dan amalan terbaik Mayo Clinic dalam meningkatkan kepakaran dan kemahiran pengamal perubatan kami sendiri. Kami yakin strategi ini bukan sahaja akan meningkatkan hasil dan kualiti rawatan pesakit seiring dengan slogan ‘Care for Life’ kami.

“Bahkan ini turut menyumbang kepada pembangunan negara. Dalam usaha meningkatkan standard piawaian perkhidmatan yang ditawarkan, kami juga secara tidak langsung merangsang kemajuan yang positif dalam industri penjagaan kesihatan di Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Rizza berkata, pihaknya amat berbesar hati mengalu-alukan KPJ DSH dan DSH2 sebagai ahli Mayo Clinic Care Network.

“Organisasi kami turut berkongsi komitmen yang sama dalam memberikan perkhidmatan penjagaan kesihatan berkualiti yang memberi tumpuan khusus kepada setiap pesakit.

“Kami tidak sabar untuk bekerjasama dengan KPJ Healthcare dalam memperkasakan perkhidmatan penjagaan kesihatan,” katanya.

Sebagai ahli Mayo Clinic Care Network, KPJ DSH dan DSH2 telah mendapat akses kepada penjagaan perubatan dan pembangunan profesional seperti:

AskMayoExpert
Sistem komprehensif yang menawarkan maklumat klinikal tentang pelbagai kondisi perubatan termasuk protokol perubatan, cadangan rawatan dan rujukan perubatan. Pangkalan data tersebut boleh diakses pada setiap masa untuk semua jenis perkhidmatan penjagaan kesihatan.

eBoards
Persidangan video interaktif secara langsung yang membolehkan pasukan perubatan di KPJ DSH dan DSH2 untuk membuat semakan dan membincangkan kes-kes kompleks dengan barisan panel dan pakar perubatan dari Mayo Clinic Care Network.

Health Care Consulting
KPJ DSH dan DSH2 mempunyai akses kepada pengalaman, pengetahuan dan kepakaran Mayo Clinic yang luas untuk mencapai objektif klinikal, operasi dan matlamat perniagaan.

Selain itu, pengamal perubatan profesional di KPJ DSH dan DSH2 juga berpeluang untuk menggunakan bahan material berkaitan pendidikan tentang pesakit di Mayo Clinic dan terlibat dalam pembangunan profesional serta pendidikan perubatan berterusan, sekali gus meningkatkan kualiti penjagaan dan perkhidmatan yang diberikan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN