KPDN Sabah buka 242 kes dengan rampasan bernilai RM1.96 juta - Utusan Malaysia

KPDN Sabah buka 242 kes dengan rampasan bernilai RM1.96 juta

PEGAWAI KPDN Sabah menjalankan pemeriksaan di sekitar bazar Ramadan di Kota Kinabalu
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah merekodkan 242 kes atas pelbagai kesalahan dengan jumlah rampasan bernilai RM1.96 juta sejak Januari hingga semalam.

Pengarah KPDN Sabah, Georgie Abas berkata, sejak 1 Januari hingga semalam, daripada 12,888 premis perniagaan yang diperiksa, sebanyak 242 kes telah direkodkan dengan kompaun berjumlah RM26,200 telah dikutip.

Beliau berkata, pemeriksaan di bazar-bazar sejak awal Ramadan sehingga semalam, dua peniaga telah dikompaun serta merta atas pelbagai kesalahan.

Katanya, berdasarkan pemeriksaan terhadap 475 gerai bazar Ramadan bermula sejak 12 Mac lalu, dua kes telah dicatatkan.

“Satu kes melibatkan peniaga yang melakukan kesalahan di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972 kerana menggunakan alat timbang yang telah tamat tempoh sah penentusahan.

“Sementara itu, seorang peniaga telah gagal meletakkan tanda harga, label atau tag yang menunjukkan harga tunai ke atas kuih muih yang dipamerkan untuk jualan.

“Kedua-dua peniaga tersebut telah ditawarkan kompaun serta-merta dan kompaun itu telah pun dijelaskan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Georgie berkata, semua peniaga diingatkan untuk terus mematuhi segala perundangan yang telah ditetapkan oleh kerajaan terutamanya sepanjang bulan Ramadan dan menjelang Hari Raya Aidilfitri.

Jelas beliau, semua peniaga harus mempraktikkan amalan perniagaan beretika serta tidak mengambil kesempatan dengan mengaut keuntungan yang berlebihan.

KPDN juga ingin menasihatkan pengguna supaya tidak menularkan sebarang salah laku peniaga dalam laman media sosial sebaliknya, melaporkan terus kepada KPDN untuk pemeriksaan dan tindakan selanjutnya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya