IPOH: Boleh berbuka puasa secara santai beramai-ramai seperti berkelah memberi manfaat kepada 100 peniaga di Bazar Ramadan Bulatan Sultan Azlan Shah (BSAS) di sini, yang merupakan bazar Ramadan terpanjang di Perak sejauh 500 meter.
Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) menyediakan peluang dan ruang perniagaan kepada 100 peniaga dari pukul 3 petang hingga 11 malam di bazar tersebut.
Inisiatif PKNPk itu selaras dengan aspirasi Kerajaan Perak di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad melalui Perak Sejahtera 2030 bagi memberi peluang dan galakan kepada usahawan untuk mencari pendapatan.
Komitmen tersebut juga selari dengan flagship ke-5 dalam Pelan Perak Sejahtera 2030, iaitu Program Pembolehdayaan Modal Insan dan Pembelajaran Sepanjang Hayat bagi menggalakkan perkembangan keusahawanan serta flagship ke-9 iaitu Program Mesra Pelabur dengan fokus kepada pemerkasaan syarikat kerajaan negeri sebagai pemudah cara melonjakkan pertumbuhan ekonomi.
Konsep berbuka puasa seperti berkelah di bazar itu berjaya menarik ramai pengunjung yang mahu mendapatkan pelbagai juadah makanan dan kemudian bersantai bersama keluarga dan rakan-rakan di bulatan tersebut.
Menurut pemilik Royal Popia Kuala Kangsar, Qayim Anuar yang berniaga di bazar itu, pihaknya boleh memasak di bazar tersebut bermula 12 tengah hari dan mula menjual juadah seawal 3 petang.
“Kami suka berniaga di sini sebab konsep bazar yang membolehkan pengunjung berbuka puasa. Pengunjung tidak tergesa-gesa hendak pulang. Malah kami boleh lanjutkan masa menjual berbanding di bazar Ramadan lain,” katanya.
Qayim menjual popia basah dan goreng di mana dia merupakan pewaris generasi ketiga Popia Kuala Kangsar Bandar Diraja yang dimulakan sejak 30 tahun lalu.
Pengasas Sharbat Tembikai Pakistan, Syed Aminuddin Syed Mohamed pula gembira apabila jualan produk air berasaskan tembikai mendapat sambutan meskipun melihat trend pembeli kini lebih berhati-hati ketika berbelanja.
“Alhamdulillah sambutan sangat menggalakkan. Lebih 12,000 paket air terjual sejak awal Ramadan. Pengunjung lebih terbuka untuk mencuba menu air yang baharu dan berlainan,” katanya.
Bagi Muhammad Fadzli Ismail yang menjual Sushi Fazsto berkata, BSAS merupakan lokasi yang baik untuk dia memperkenalkan produk keluaran sushi orang Melayu.
“Di sini ada tempat atau ruang letak kereta yang banyak. Padang yang besar untuk beriadah dan berbuka puasa.
“Kemudahan surau dan tandas yang selesa. Ini amat menarik pengunjung datang dan memberi kebaikan kepada para peniaga,” katanya. – UTUSAN