WANITA memainkan peranan penting dalam landskap sosioekonomi Malaysia dengan jumlah populasi melebihi 15 juta orang yang menyumbang hampir 48 peratus daripada jumlah keseluruhan.
Program Mentor Wanita Cukup Berani MAGGI® meraikan Hari Wanita Sedunia dengan memperkasakan wanita melalui makanan, meraikan keupayaan dan pencapaian wanita, memperkukuhkan peranan mereka dalam industri makanan dan mengiktiraf sumbangan mereka yang berharga dalam masyarakat.
Dengan bimbingan, latihan, dan sumber disediakan kepada wanita yang berminat, program yang dilaksanakan merangkumi aspek-aspek penting dalam dunia keusahawanan makanan, seiring dengan usaha global dalam memartabatkan wanita dan melaksanakan pembiayaan yang responsif terhadap gender.
Sejak pertama kali diperkenalkan pada tahun 2020, PMWCB telah memberikan impak yang positif kepada lebih 4,800 wanita di seluruh negara. Ia sarat dengan bengkel bermanfaat bersama mentor berpengalaman dan pakar teknologi daripada Google, Meta dan TikTok bagi menyediakan wanita dengan pengetahuan yang mantap untuk merealisasikan impian mereka.
Dalam tempoh tersebut, sebagai sebahagian daripada pelaksanaan PMWCBM, rancangan realiti televisyen Resipi Berani MAGGI® turut dilaksanakan bagi mempamerkan transformasi wanita dalam memecahkan tembok ketakutan mereka.
Bagi Nur Hanie Mohammed yang meraih Juara dalam Resipi Berani MAGGI® Musim 3 pada awal tahun ini, minat memasak timbul dengan melihat ibunya memasak dan juga buku teks sains rumah tangga semasa berada di sekolah menengah.
Perniagaan makanan berpantang yang diasaskan adalah cara beliau mengingati arwah ibu di mana setiap hidangan yang dihasilkan adalah penciptaan kreatif yang diadaptasi daripada resipi turun-temurun yang diajar ibunya.
Nur Hanie sangat menyukai citarasa masakan tradisional dan gemar bereksperimentasi dengan gaya masakan moden. Ilmu dan pengalaman di PMWCBM banyak memberi lonjakan paradigma kepada diri beliau.
Sebab itulah, hidangan Mi Kampua Sarawak yang dihasilkan beliau dinobatkan sebagai hidangan terbaik sekali gus melayakkan beliau menjadi pemenang utama.
“Saya bermula sebagai pelukis komik. Bagi saya memasak dan melukis komik memang memerlukan kreativiti dan kedua-duanya cukup kena dengan jiwa sentimental saya. Saya juga tak sangka, Program Mentor Wanita Cukup Berani Maggi® berjaya mengubah diri saya seperti baru dilahirkan semula menjadi orang yang yakin diri dan tak malu bercakap di hadapan ramai.”
“Tak kira apa yang saya cuba, memasak adalah satu-satunya perkara yang tetap membuatkan saya gembira. Itulah sebabnya saya mahu menjadi pencipta konten makanan dan berkongsi kisah serta resipi arwah ibu saya sebagai cara untuk mengingati dan menghargai pengorbanannya, dan juga berkongsi pengetahuan dengan orang lain, supaya ia tidak hilang begitu sahaja.
“Motivasi saya adalah anak perempuan saya. Setiap kali saya rasa tertekan dan penat, saya akan fikir apa yang saya mahu anak saya ingat tentang saya, dan itu akan memberi semangat baharu pada saya. Saya mahu menjadi seperti apa yang ibu saya berikan kepada saya. Saya tujukan kemenangan saya kepada arwah ibu saya dan saya tahu kalau dia masih hidup, pasti dia bangga dengan saya,” katanya.
Bagi Nur Syahidah Amullah Abdul Rahim, Juara Resipi Berani MAGGI®️ Musim Ke-2 pada tahun 2022, beliau percaya kecantikan luaran bukanlah segala-galanya dan jangan sesekali menilai seseorang dengan paras rupa semata-mata.
Menghidap sindrom kelopak mata tidak normal atau dikenali juga sebagai Blepharophimosis, Nur Syahidah Amullah mempunyai masalah penglihatan dan mahu orang lain memandang tinggi diri beliau walaupun dengan kekurangan yang dimiliki.
Sebab itulah beliau nekad menyertai Program Mentor Wanita Cukup Berani Maggi® dan siapa sangka nasib memihak kepada beliau.
“Saya amat berterima kasih pada MAGGI® dan saya amat menggalakkan wanita di luar sana untuk menyertai Program Mentor Wanita Cukup Berani MAGGI® kerana ia akan memperkasakan anda dan memberikan inspirasi untuk terus maju ke hadapan dalam melalui onak duri kehidupan terutamanya dalam perniagaan makanan.
“Dengan mengguna pakai ilmu dan pengalaman yang diajar dalam PMWCB, Alhamdulilah perniagaan saya meningkat mendadak sehingga lebih 80 peratus dan semakin berkembang maju,” ujarnya.
Bagi Nur Hidayah Jeffri yang dinobatkan sebagai juara bagi program Resipi Berani MAGGI®️ Musim Pertama 2021, perkasanya seorang wanita terletak pada kemampuannya untuk bangkit daripada kegagalan.
Kegagalan bukanlah untuk ditangisi, tetapi satu asbab untuk menjadi lebih berjaya. Peluang menyertai Program Mentor Wanita Cukup Berani Maggi® membuka lembaran baharu untuk perniagaan online beliau yang jatuh merudum semasa negara dilanda pandemik.
Selain tampil lebih yakin untuk mempromosikan produk nasi bungkus beliau, ilmu tentang pengurusan perniagaan dan kewangan berjaya mengubah hidup beliau dan juga keluarga.
“Dengan bantuan pihak MAGGI®️ yang banyak mendedahkan saya kepada teknik komunikasi dan promosi berkesan, ia membantu saya dan perniagaan untuk terus berkembang. Orang makin ramai mengenali dan membeli produk saya, segalanya berubah 360 darjah.
“Sebelum menyertai program ini, saya hanya mampu menyediakan nasi bungkus dengan penjualan bulanan sekitar RM500. Namun kini, saya mampu mencapai sehingga 30 peratus kali ganda sebulan,” katanya.
Ternyata, perjalanan dan pengalaman Syahidah, Hidayah dan Hanie mencerminkan inisiatif Program Mentor Wanita Cukup Berani Maggi® untuk memperkasakan wanita, menggalakkan wanita-wanita mengambil langkah pertama yang berani bagi mencapai impian dan minat mereka dalam industri makanan.
Sempena sambutan Hari Wanita Sedunia 2024, semoga wanita di luar sana terus berani menghadapi cabaran dan keluar dari zon selesa demi kehidupan yang lebih bermakna, bertepatan dengan tema ‘Wanita Dijulang Negara Gemilang’ yang menyoroti peranan wanita sebagai tonggak utama dalam pembangunan sosial masyarakat. – UTUSAN