PUTRAJAYA: Keputusan sama ada Malaysia bersetuju atau tidak untuk meneruskan pencarian bangkai pesawat Malaysia Airlines, MH370 akan diputuskan selepas pertemuan dengan Ocean Infinity pada awal Mei depan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, beliau sendiri akan bertemu dengan wakil firma penerokaan dasar laut itu bagi perbincangan lanjut mengenai kontrak dan cadangan misi pencarian itu.
Beliau berkata, mesyuarat Kabinet hari ini juga tidak membincangkan mengenai perkara itu.
“Kita sudah ada temujanji dengan Ocean Infinity. Mereka akan datang untuk bentangkan cadangan mereka. Selepas mendengar pembentangan mereka, maka kita perlu buat kertas Jemaah Menteri.
“Kena faham bahawa prinsipnya (fokus pencarian) adalah ‘no find, no fee’ (tidak jumpa, tiada bayaran) jadi ada komitmen dan implikasi kewangan maka itu memerlukan kelulusan Kabinet,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.
Katanya, setakat ini, pihaknya terpaksa menunggu dahulu cadangan daripada Ocean Infinity terutama fokus carian mereka barulah sebarang keputusan dibuat.
Sebelum ini, Loke dilaporkan berkata, kerajaan komited untuk meneruskan pencarian pesawat MH370 yang hilang ketika dalam penerbangan pada 8 Mac 2014.
Sebelum ini juga, Ocean Infinity mendakwa mempunyai bukti saintifik baharu mengenai lokasi terakhir pesawat itu.
Malah, Ocean Infinity juga sudah mengemukakan cadangan itu kepada kerajaan Malaysia berdasarkan prinsip ‘tidak jumpa, tiada bayaran’.
Pesawat MH370 yang membawa 239 penumpang dan anak kapal hilang ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac 2014, sebelum ia diumumkan berakhir di Lautan Hindi. – UTUSAN