BATU PAHAT: Seorang wanita dipercayai kakak kepada Mila Sharmila Samsusah atau Bella yang didakwa mati dibunuh oleh teman lelakinya ditahan bagi membantu siasatan kes berkaitan laporan melanggar Akta Kanak-Kanak 2001.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, penahanan dibuat susulan laporan dibuat seorang wanita pada Khamis lalu.
“Laporan itu dibuat seorang wanita menyatakan gambar anaknya berusia empat tahun yang merupakan saksi pendakwaan bersabit satu kes pembunuhan di Batu Pahat telah disebarkan menerusi siaran langsung dalam aplikasi TikTok.
“Susulan itu, pada pukul 2.10 pagi ini polis telah menahan seorang wanita tempatan berusia 36 tahun semasa tampil memberikan keterangan di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat. Polis turut merampas sebuah telefon bimbit yang dipercayai digunakan untuk membuat siaran langsung dalam aplikasi TikTok tersebut bagi siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini
Menurut Ismail, suspek telah dibawa ke Mahkamah Majistret Batu Pahat dan dibenarkan direman selama sehari bermula hari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001.
Sementara itu, wanita tersebut dilihat hadir bersama peguamnya, Nur Aminahtul Mardiah Md. Nor dan Nurul Hafidzah Hassan dan beberapa ahli keluarga termasuk suaminya.
Isnin lalu, kakak Bella, Norhisham dilaporkan berkata, ketika ini hanya tulang belakang dan tangan jasad adiknya yang belum ditemukan.
Pada 28 Februari lalu, orang awam dilaporkan menemukan enam ketul tulang di belakang dan tepi rumah terbiar di Kampung Batu 7, Tongkang Pechah, lokasi di mana rangka tidak sempurna Bella ditemukan pada 19 Disember lalu.
Perkara itu disahkan oleh polis dan keenam-enam tulang, iaitu masing-masing dua tulang dipercayai bahagian paha, betis dan keting manusia di lokasi itu.
Kesemua tulang itu kemudian dihantar ke Jabatan Kimia Johor untuk analisis perbandingan Asid deoksiribonukleik (DNA).
Bella dilaporkan hilang pada 14 Disember tahun lalu selepas ahli keluarga gagal menghubunginya sebelum membuat dua laporan polis pada 16 dan 18 Disember lalu.
Selepas 38 hari misteri kehilangan Bella menjadi tanda tanya, polis berjaya menemukan rangka manusia tidak sempurna di dalam sebuah rumah terbiar di Kampung Batu 7, Tongkang Pechah yang kemudian disahkan milik Bella. – UTUSAN