KUALA LUMPUR: Isu menu bak kut teh yang diiktiraf sebagai sebahagian daripada Warisan Negara menggamatkan Dewan Rakyat hari ini.
Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) ketika sesi perbahasan titah diraja mempersoalkan makanan berkenaan menjadi konflik serta dipolitikkan.
Sedangkan, katanya, mana-mana pihak dapat menggunakan menu bak kut teh yang boleh dibuat menggunakan daging halal dimakan dan bukan daging babi semata-mata.
“Apa yang menjadi masalahnya? Ini yang kita nak jadikan konflik dalam negara kita. Sedangkan ada banyak makanan lain. Dodol pun jadi makanan warisan. Mi kolok dijadikan sebagai makanan warisan,” katanya di sini.
Sany turut meminta pengesahan Howard Lee Chuan How (PH-Ipoh Timur) berhubung perkataan ‘bak’ dalam hokkien sama ada ia bermaksud ‘daging’ atau ‘daging babi’.
Howard kemudian bangun mengesahkan ‘bak’ cuma bermaksud daging.
Teresa Kok (PH-Seputeh) ketika perbahasan sebelum ini menyifatkan, hidangan berasal dari Klang itu dapat menarik pelancong asing khususnya dari Asia Timur seperti China, Jepun, Korea, Hong Kong dan Taiwan.
Pada masa sama, Teresa berkata, jika kerajaan tidak menyenaraikan makanan yang dicipta masyarakat cina di negara ini, maka negara jiran dikhuatiri menuntut makanan itu.
“Negara jiran akan membuat tuntutan dan pelancong asing tidak akan sedar bak kut teh ini adalah makanan yang berasal dari Klang, Malaysia,” katanya. – UTUSAN