PONTIAN: Sejak suaminya menghidapi penyakit angin ahmar ketika pandemik Covid-19 pada tahun 2021, Roslina Adam kini menjadi ‘ketua keluarga’ menguruskan rumah tangga dan anak-anak.
Roslina Adam, 47, berkata, suaminya, Johari Sairan, 52, yang menjadi tempat pergantungan hidup kini terlantar di atas katil dan tidak boleh bercakap serta tidak mampu lagi menguruskan dirinya.
Katanya, penyakit suaminya disebabkan tekanan darah terlalu tinggi menyebabkan dia terpaksa dimasukkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru selama 14 hari untuk rawatan.
“Penyakit angin ahmar yang dihidapi suaminya menyebabkan bahagian kanan badannya termasuk kaki dan kanan tidak dapat bergerak lagi,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Parit Salleh, Benut, di sini, baru-baru ini.
Tambah Roslina, pelbagai kaedah rawatan termasuk secara tradisional dilakukan selain bantuan dari fasiotrapi yang dipanggil datang ke rumah, namun penyakit suaminya tidak juga sembuh ( berubah ).
“Selama ini pendapatan keluarganya bagi menyara tujuh orang anaknya daripada kebun kelapa sawit seluas 1.6 hektar yang dilakukan oleh suaminya,” ujarnya.
Katanya, dia mempunyai tujuh orang anak, empat lelaki dan tiga perempuan berusia 11 tahun hingga 25 tahun, dimana empat daripadanya masih lagi bersekolah menengah dan rendah.
Menurut Roslina, suaminya hanya boleh minum susu formula melalui tiub ke hidungnya dengan memerlukan sembilan tin susu formula sebulan yang berharga RM100.00 setin.
“Penggunaan lampin pakai buang dewasa pula sebanyak 8 beg sebulan,” jelasnya yang kini menerima bantuan RM500 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)
Tambah Roslina, selain tujuh anak yang berada di rumahnya, turut tinggal bersama, ibunya Siti Aniah Mohamad Bari berusia 83 tahun, seorang menantu dan seorang cucu lelaki berusia setahun lebih.
Katanya, kerja-kerja di kebun kelapa sawit dilakukan oleh anak lelaki yang berusia 23 tahun dengan memperolehi pendapatan kira-kira RM1,500 bergantung kepada hasil kelapa sawit.
Mereka yang ingin membantu boleh menghubungi Roslina Adam di talian 011-25880046 atau di Kampung Parit Salleh Benut dan menyumbang terus ke akaun Bank Islam (01-108-02-293008-7). – UTUSAN