SEOUL: Selepas hantarannya di media sosial menjadi tular, pelakon popular, Han So Hee akhirnya mengesahkan khabar angin bahawa dirinya sedang menjalin cinta dengan pelakon, Ryu Jun Yeol.
Khabar angin tersebut mula diperkatakan selepas seorang pengguna media sosial memaklumkan ternampak kedua-dua pelakon itu sedang bercuti bersama di Hawaii.
Pada awalnya, kedua-dua agensi pelakon itu menafikan khabar angin terbabit, memaklumkan bahawa pelakon mereka pergi ke Hawaii dengan kawan rapat masing-masing selain menafikan berita percintaan itu.
Tidak lama selepas kenyataan daripada agensi dikeluarkan, bekas kekasih Jun Yeol yang juga pelakon, Hyeri memuat naik sebuah gambar dengan kapsyen ‘sangat kelakar’ dan tidak lagi mengikuti Jun Yeol di media sosial.
Tindakan itu menyebabkan peminat mula membuat spekulasi bahawa kenyataan yang dikeluarkan oleh agensi mungkin bercanggah dengan apa yang sebenarnya terjadi.
Bagaimanapun, So Hee membuat hantaran balas kepada Hyeri dengan mengatakan dirinya tidak akan menyukai lelaki yang sudah menjadi milik wanita lain dan tidak akan mendekati mereka dengan alasan sebagai ‘kawan’.
Warganet kemudian memuat naik kembali beberapa bukti yang menguatkan lagi berita percintaan mereka termasuklah sebuah gambar yang dimuat naik So Hee di acara pameran.
Selepas keadaan menjadi semakin panas, barulah So Hee akhirnya membuat pengakuan menerusi hantaran di blog peribadinya mengesahkan hubungan dengan pelakon Reply 1988 itu.
“Percintaan Jun Yeol dengan bekas kekasihnya sudah berakhir pada 2023. Manakala kami berdua mula bercinta pada awal tahun 2024. Kami bertemu pertama kali di sebuah majlis pameran menerusi seorang kawan,” tulisnya.
So Hee turut meminta maaf kepada Hyeri dan menyifatkan kenyataan yang dimuat naik pelakon itu di media sosial sebagai tidak matang.
“Saya akan meminta maaf kepada Hyeri mengenai hantaran media sosial saya yang kebudak-budakan.
“Saya patut berdiam diri sahaja namun tidak sanggup melihat fitnah yang timbul, mengatakan saya bercinta dengan Jun Yeol semasa dia masih mempunyai hubungan istimewa dengan kekasih lamanya. Ia membuatkan saya beremosi dan berkelakuan biadab,” tambahnya.
Untuk rekod, Hyeri dan Jun Yeol merupakan pasangan yang sering menjadi sorotan warganet dan kesayangan warga Korea Selatan. Selepas tujuh tahun bercinta, mereka akhirnya mengumumkan sudah berpisah pada November tahun lalu.